EXCO KERAJAAN JOHOR NAFI KELUAR SURAT SOKONGAN


Surat sokongan palsu yang tular di media sosial melibatkan keluarga EXCO Kerajaan Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — EXCO Kerajaan Johor, Mohd Hairi Mad Shah hari ini, menafikan ada mengeluarkan surat sokongan untuk bapanya seperti yang tular di media sosial.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berkata, penularan surat palsu tersebut merupakan tindakan tidak bertanggungjawab melibatkan keluarganya.

 

“Hari ini saya ditanya oleh ramai rakan media mengenai satu salinan surat yang tular dan beberapa ‘posting’ di media sosial mendakwa saya menyalahgunakan kuasa mengeluarkan surat sokongan sebagaimana yang ditularkan.

 

“Berkenaan surat yang ditularkan, saya menafikan pernah mengeluarkan atau menggunakan surat sebagaimana kandungan yang ditularkan, bahkan ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dengan membabitkan ahli keluarga saya,” kata beliau dalam satu kenyataan.

 

Mohd Hairi turut melontarkan pertanyaan selain meminta pihak menularkan surat itu mengemukakan bukti daripada mana-mana Jabatan atau Agensi Kerajaan di Negeri Johor yang menerima surat berkenaan.

 

Katanya, tidak mustahil paparan surat tersebut palsu dan disunting pihak tertentu dengan niat mahu memburuk serta menjatuhkan reputasinya selaku wakil rakyat dan EXCO Kerajaan Johor, pada masa kini.

 

Terdahulu, tular di media sosial ‘Surat Pengesahan Bagi Memudahkan Urusan Kerajaan’ dari Pejabat EXCO Kerajaan Johor, Mohd Hairi Mad Shah bertarikh 10 April 2023.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor