1,129 CALON SPM JOHOR DAPAT ‘STRAIGHT’ A


Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Sektor Pengurusan Sekolah), Anuar Sukiran semasa mengumumkan Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 Negeri Johor di Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) pagi tadi. | Foto MDJ Liyana Iwana

 

JOHOR BAHRU — Prestasi calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Johor terus menunjukkan kecemerlangan apabila seramai 1,129 berjaya memperolehi keputusan cemerlang A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

 

Prestasi itu meningkat sebanyak 2.73 peratus berbanding tahun lalu (seramai 1,122 calon)  dan keputusan cemerlang ini adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

 

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Sektor Pengurusan Sekolah), Anuar Sukiran, berkata lebih manis kecemerlangan ini turut disusuli dengan kejayaan Indeks Purata Nasional (GPN) turut mengatasi GPN Nasional dalam SPM 2022.

 

Katanya, kecemerlangan ini meneruskan lagi rentetan kejayaan GPN Negeri Johor mengatasi GPN Nasional bagi tempoh sembilan tahun berturut-turut.

 

“Pencapaian keputusan cemerlang tahun ini juga merupakan pencapaian terbaik sepanjang lima tahun yang melibatkan seramai 1,129 orang calon dengan keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dengan 20 daripadanya meraih keputusan cemerlang A+ dalam semua subjek diambil.

 

“Berdasarkan pencapaian kali ini, sebanyak 51 buah sekolah dan enam buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negeri ini mencapai kelulusan 100 peratus layak mendapat sijil,” umumnya di Sidang Media Pengumuman Keputusan SPM 2022 Negeri Johor di sini, pagi tadi.

 

Anuar berkata, prestasi sekolah di Johor turut menunjukkan trend peningkatan dalam kelulusan mendapat sijil membabitkan kategori Sekolah Luar Bandar, Sekolah Bandar dan Sekolah Menengah Harian.

 

Katanya, selain itu, kecemerlangan sama turut ditunjukan bagi Kategori Sekolah Menengah Agama (SMA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Johor yang turut menunjukkan pencapaian yang membanggakan.

 

“Sekolah Luar Bandar merekodkan sebanyak 21 daripada 69 sekolah; Sekolah Bandar (33 daripada 47 sekolah) dan Sekolah Menengah Harian (34 daripada 233 sekolah) berjaya mendapat kelulusan mendapatkan sijil.

 

“Bagi kategori SMA, sebanyak 19 daripada 20 buah sekolah layak mendapat sijil, diikuti enam buah SMKA yang semuanya 100 peratus layak mendapat sijil. Sementara itu, bagi kategori Sekolah Felda pula menyaksikan enam daripada 20 buah sekolah berjaya mendapatkan sijil.

 

Sementara itu, beliau turut mengumumkan semua 143 calon berkeperluan pendidikan khas (BPK) layak mendapat sijil dengan lima calonnya berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperolehi sekurang-kurangnya 7A dan lulus semua mata pelajaran.

 

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada calon yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam peperiksaan SPM 2022.

Semoga kecemerlangan ini diteruskan dalam apa jua bidang yang diceburi kelak,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor