FLLSPG : KERAJAAN JOHOR ZAHIR SOKONGAN BERTERUSAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyempurnakan perasmian Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) Kali Ke-25 Tahun 2023, semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) Kali Ke-25 Tahun 2023 telah sempurnakan dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, semalam.

 

Majlis perasmian tersebut, turut disaksikan puluhan ribuan masyarakat Johor yang bersama-sama meraikan sambutan festival ‘Jubli Perak’ dengan bertemakan ‘Layangkasa Dinamik’.

 

Onn Hafiz berkata, setelah hampir tiga tahun tidak dapat dianjurkan kerana pandemik COVID-19, festival yang menjadi tarikan pelancongan itu dapat diadakan pada tahun ini.

 

Beliau merakamkan penghargaan terhadap usaha dan komitmen smeua pihak dalam menjayakan festival terutama Persatuan Pelayang Johor.

 

“Setinggi-tinggi tahniah saya rakamkan kerana Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang pada tahun ini, untuk julung-julung kalinya telah dianjurkan sendiri oleh Persatuan Pelayang Johor dan Majlis Pelayang Malaysia.

 

“(Penganjuran) dengan sokongan penuh kerajaan negeri khasnya Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Tourism Johor serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Johor.

 

“Saya sebagai Menteri Besar dan juga Tan Sri Setiausaha Kerajaan Johor akan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk menjayakan festival ini pada tahun hadapan,” kata beliau dalam ucapan perasmiannya.

 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani; Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamad; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Dato’ Asman Shah Abd. Rahman serta Pegawai Daerah Muar merangkap Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor, Hasrin Kamal Hashim.

 

Sementara itu, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur FLLSPG Ke-25 Tahun 2023, Dato’ A. Rahim Nin berkata, dengan suntikan dana berjumlah RM1 juta, penganjuran festival menjadi realiti dan mendapat sambutan luar biasa.

 

Ujar beliau, festival itu mendapat publisiti begitu meluas yang memberikan kesan positif dalam menarik pelancong domestik dan antarabangsa untuk hadir ke Pasir Gudang serta Johor amnya.

 

“Festival ini juga telah memberi kesan limpahan ekonomi kepada lebih 350 pengusaha IKS dengan nilaian jualan dianggarkan lebih RM6 juta.

 

“Secara langsung telah menyokong kepada usaha Menteri Besar untuk ‘boost’ ekonomi Johor yang terkesan daripada pandemik COVID-19,” kata beliau.

 

FLLSPG Kali Ke-25 Tahun 2023 berlangsung bermula 22 hingga 26 Februari 2023, berjaya menarik kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

 

Seramai 109 peserta antarabangsa dari 40 negara menyertai festival pada kali ini, antaranya Brunei, Kemboja, Indonesia, Singapura, Filipina, Austria, Republic Czech, Ireland, Italy, Scotland, Jepun, Korea Selatan dan China.

 

Keseluruhan, seramai 715 peserta menjayakan FLLSPG Kali Ke-25 Tahun 2023 meliputi peserta antarabangsa dan tempatan, pihak korporat, komuniti setempat, wakil Politeknik Malaysia.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor