GELARAN ‘DOUBLE TREBLE’ MENANTI JDT


Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal bertemu pasukan Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil, 8 Disember ini.

 

Selepas sedekad dibawah naungan DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini
berada di landasan terbaik untuk memburu piala seterusnya pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 edisi ke-97 sekali gus akan mencatatkan satu lagi pencapaian menakjubkan iaitu gelaran ‘double treble’.

 

Impian besar ini hadir selepas JDT yang juga juara bertahan bakal bertemu pasukan Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 Disember ini. Bagi musim ini, JDT telah pun menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Liga Super dan kejuaraan Piala Malaysia kelak akan melengkapkan misi JDT untuk meraih lapan trofi dalam dua musim berturut-turut selepas melakukan transformasi bola sepak sejak 2013.

 

Sebelum ini, JDT berjaya merekodkan gelaran treble hanya dalam masa sembilan tahun penubuhan kelab bola sepak. Jika berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2023, JDT akan menyaingi rekod Kedah FA yang menjadi satu-satunya persatuan bola sepak di Malaysia yang berjaya memenangi gelaran double treble yang dilakukan pada tahun 2007 dan 2008 di bawah kendalian jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah.

 

Pada sesi sidang media selepas Perlawanan Liga Super antara JDT dan Sri Pahang, pengendali JDT, Esteban Solari berpuas hati dengan karakter pemain. Beliau turut menyifatkan mentaliti pemain-pemain skuad Harimau Selatan kini dalam keadaan terbaik walaupun mengalami kekalahan besar dengan kelab Jepun dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) sebelum ini.

 

Pengendali dari Argentina itu turut menegaskan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 yang juga aksi final keenam JDT dalam Piala Malaysia bukan satu misi yang mudah bagi skuad yang berpangkalan di selatan tanah air itu. Walaupun JDT mempunyai rekod baik untuk semua perlawanan di tempat lawan, namun perlawanan akhir sentiasa menjadi cabaran sukar buat JDT.

 

“Perlawanan akhir Piala Malaysia nanti amat bermakna dan agak sukar bagi kami. Ini kerana TFC adalah sebuah pasukan yang bagus dan kami akan cuba memberikan yang terbaik. Kami akan berusaha keras untuk piala tersebut kerana itu sudah menjadi tuntutan bagi semua pihak yang berada kelab bola sepak terbaik ini,” ujarnya.

 

#SukanMDJ

#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas

#MajuJohor