GOTONG ROYONG JOHOR BERSIH TAMAN SURIA MERIAH
ISKANDAR PUTERI — Program Gotong Royong Johor Bersih di Balai Raya Taman Suria, dekat Johor Bahru, hari ini, berlangsung meriah dengan penglibatan pemimpin dan masyarakat setempat.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah bersama sukarelawan Southern Volunteers.
“Saya sememangnya memastikan sukarelawan Southern Volunteers dapat digerakkan dan menjadi tonggak utama dalam menjayakan Program Gotong-Royong Johor Bersih ini.
“Budaya kesukarelawan khususnya dalam sama-sama memastikan alam sekitar dan persekitaran yang bersih perlu dijadikan budaya dan amalan setiap Bangsa Johor, khususnya di kawasan DUN Larkin,” kata Mohd Hairi.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin akui komited dan mahu memastikan agenda Johor Bersih dapat dilaksana dan dibudayakan di Johor Bahru khususnya kawasan DUN diwakilinya.
Gotong Royong Johor Bersih di Balai Raya Taman Suria turut melibatkan penyertaan warga Balai Polis Majidee serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor Zon Johor Bahru.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor