GRADUAN KUIJSI KINI IMAM DI MASJID TEMENGGONG DAENG IBRAHIM


Graduan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) kini bergelar imam di Masjid Temenggong Daeng Ibrahim, Telok Blangah. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Siapa sangka impian dua graduan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) untuk bergelar imam menjadi kenyataan sebaik sahaja menamatkan pengajian masing-masing.

 

Basok Muhammad Muhaimin Kamaludin, 22, dan Mohamad Fairuz Abdul Rashid, 23, pelajar lepasan Diploma Tahfiz Al-Qur’an Wa Al Qiraat KUIJSI kini ditugaskan sebagai imam di Masjid Temenggong Daeng Ibrahim, Telok Blangah.

 

Kedua-dua mereka antara nama yang dicadangkan oleh pihak pengurusan KUIJSI kepada As-Syeikh Mohd Khairul Nizam Basar, Imam Masjid Temenggong Daeng Ibrahim.

 

Basok Muhammad Muhaimin yang mula bertugas di Masjid Jamek Kerajaan Negeri Johor di Singapura pada Ramadan tahun lalu, menganggap berjauhan dengan keluarganya di Kulai bukanlah suatu masalah.

 

Meskipun mengakui suasana bertugas di Singapura sedikit berbeza, anak bongsu daripada empat beradik akui kemahiran berbahasa Inggeris dipelajari di KUIJSI selama tiga tahun juga memudahkannya berinteraksi dengan jemaah.

 

Beliau turut kagum dengan semangat dan kesungguhan warga Singapura dan rakyat Malaysia yang menjadikan masjid itu sebagai destinasi persinggahan wajib untuk menunaikan solat sebelum meneruskan urusan seharian.

 

Sementara itu, Mohamad Fairuz bersyukur diberikan kesempatan berjauhan dengan keluarga demi mencari pengalaman pada usia muda malah seronok menjalin ukhuwah bersama rakan-rakan baharu di negara jiran.

 

Beliau yang turut bertugas di Surau Al-Muttaqin, Taman Desaru Utama, Kota Tinggi menasihatkan mereka yang berhasrat menjadi imam agar memiliki keberanian dan keyakinan memimpin solat berjemaah selain mengajar al-Quran.

 

Untuk rekod, Kerajaan Johor komited melahirkan ramai Imam Muda terlatih dan bertauliah pada setiap tahun, menerusi KUIJSI bagi menambah bilangan imam dan bilal untuk masjid dan surau di negeri ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor