Sumbangan RM10,000 disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Healthcare Wilayah Selatan, Mohd Azhar Abdullah kepada Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ, Mohd Ikmal Izam Zaini. | FOTO IHSAN, Hospital KPJ PUTERI

HOSPITAL PAKAR KPJ PUTERI SUMBANG RM10,000 KEPADA YKTLJ


Sumbangan RM10,000 disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Healthcare Wilayah Selatan, Mohd Azhar Abdullah kepada Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ, Mohd Ikmal Izam Zaini. | FOTO IHSAN, Hospital Pakar KPJ PUTERI

ISKANDAR PUTERI — Hospital Pakar KPJ Puteri menganjurkan kayuhan santai ‘Fun Ride’ di sekitar kawasan Iskandar Puteri, hari ini, bersempena ulangtahun ke-30 hospital berkenaan.

 

Kayuhan melibatkan seramai 500 peserta sejauh 30 kilometer bermula dan berakhir di Puteri Harbour, di sini, itu juga diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kesihatan Sedunia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Puteri, Hazarul Azly Hamzah berkata, kayuhan itu bertujuan meningkatkan kecergasan diri dan menggalakan gaya hidup sihat.

 

Menurutnya, aktiviti tersebut turut menyumbang RM10,000 kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ).

 

“Kayuhan ini amat signifikan buat Hospital Pakar KPJ Puteri sebagai fasiliti kesihatan yang telah beroperasi sejak 30 tahun sebagai antara hospital swasta terawal di Johor dan telah memberi khidmat kepada lebih 600,000 pesakit setempat dan serantau,” katanya.

 

Beliau berkata, sebagai antara 29 hospital di bawah KPJ Healthcare Berhad, Hospital Pakar KPJ Puteri sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatannya.

 

Ujarnya, antara usaha tersebut adalah penambahan doktor pakar selain menyediakan fasiliti terkini iaitu Makmal Kateterisasi Jantung (Cath-Lab) yang bakal diperkenalkan menjelang Julai ini.

 

“Cath-Lab ini bakal menawarkan perkhidmatan rawatan jantung seperti Angiografi Koronari, Angioplasti Koronari, Pemasangan Alat Pacu Jantung (pacemaker) dan Pemantauan Elektrofisiologi (Electrophysiology Study),” katanya.

 

Terdahulu, pelepasan kayuhan santai ‘Fun Ride’ disempurnakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Dato’ Mohd Haffiz Ahmad.

 

Manakala sumbangan kepada yayasan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Healthcare Wilayah Selatan, Mohd Azhar Abdullah kepada Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ, Mohd Ikmal Izam Zaini.

 

Hospital Pakar KPJ Puteri diambil alih oleh Johor Corporation (JCorp) pada tahun 1993 dan diletakkan di bawah subsidari KPJ Healthcare pada tahun 2002.

 

Antara kejayaan diraih adalah menerima dua anugerah di peringkat antarabangsa iaitu Healthcare Asia Award (Management Innovation of the Year) dan Global Health Asia-Pacific Award (Paediatric Services of The Year) baru-baru ini.

 

Seramai 63 pakar perunding dan lebih 700 kakitangan di pelbagai peringkat Hospital Pakar KPJ Puteri juga menerima manfaat daripada program peningkatan kemahiran dibangunkan oleh KPJ Healthcare.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor