UTHM DIDIK PELAJAR PELIHARA EKOSISTEM ALAM, ELAK GUNAKAN PLASTIK


Seramai 48 pelajar Kursus Pengakap Kelanasiswa I dan II yang mengikuti Kursus Kokurikulum Berkredit, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai program Latihan Intensif Kem Lencana Kemahiran Pengakap Kelana pada 26 dan 27 Mei lalu. | Foto ihsan UTHM

 

ISKANDAR PUTERI –– Seramai 48 pelajar Kursus Pengakap Kelanasiswa I dan II yang mengikuti Kursus Kokurikulum Berkredit, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai program Latihan Intensif Kem Lencana Kemahiran Pengakap Kelana pada 26 dan 27 Mei lalu.

Program yang bertujuan mengajak masyarakat mengurangkan atau mengelak daripada menggunakan plastik sama ada di darat mahupun di laut itu telah berjaya mengutip kira-kira satu tan sampah di sepanjang program berlangsung.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), Profesor Madya Ts. Dr. Mustaffa Ibrahim, berkata pelaksanaan program inisiatif global dalam aktiviti kepengakapan merupakan salah satu usaha pergerakan Pengakap bagi mentransformasi kehidupan golongan muda.

“’Plastic Tide Turner Challenge Badge’ ini akan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terutama belia tentang bagaimana menghapuskan penggunaan plastik sekali guna dalam kehidupan seharian bagi memelihara alam sekitar secara global.

“Saya berharap menerusi program seumpama ini akan dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat untuk mengelakkan penggunaan plastik sekali guna bagi mewujudkan ekosistem persekitaran yang lebih lestari”, katanya.

Sementara itu, Pengajar merangkap penasihat program, Ts. Dr. Mohd Norasri Ismail, berkata program selama dua hari itu juga diisi dengan aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran berpengakap.

“Pihak kami turut melaksanakan aktiviti perkhemahan, simpulan dan ikatan, projek perintis, ‘orienteering’, ikhtiar hidup dan penganggaran yang merujuk kepada Skim Latihan Pengakap Kelana bagi membolehkan pelajar mendapatkan Lencana Kemahiran Pengakap Kelana.

“Mereka yang terlibat juga berpeluang menyertai program Youth and United Nations Global Alliance (YUNGA) Plastic Tide Turner Challenge Badge yang bertujuan mewujudkan persekitaran lestari di negara ini”, tambahnya.

Turut terlibat dalam program tersebut, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), Negeri, Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) serta Majlis Belia Malaysia (MBM) yang turut menjadikan program itu sebagai pengisian sambutan Hari Belia Negara 2023 Peringkat Kebangsaan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor