IDO LAKSANA SEKOLAH KEPIMPINAN ORANG MUDA JOHOR


TMIYC akan terus diperluaskan sebagai has kepelbagaian aktiviti Orang Muda Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Institut Dato’ Onn (IDO) dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan Sekolah Kepimpinan Orang Muda Johor bagi melahirkan pemimpin muda bertaraf global dan berkarekter Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Modul Kepimpinan Medini akan dibangunkan oleh IDO yang meliputi modul polisi, komunikasi dan pembinaan sahsiah.

Menurut beliau, kumpulan tersebut yang cemerlang pula akan ditaja untuk mengikuti kursus jangka pendek di universiti-universiti terkemuka luar negara selama satu hingga dua minggu.

“Orang Muda Johor mesti diupayakan dengan program latihan dan pendidikan yang sesuai agar mereka akan menjadi anak-anak muda terbaik bangsa, permata negeri.

“Yang jika dibuang ke hutan menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau, dilempar ke langit menjadi bintang. Itulah harapan besar kerajaan negeri kepada Orang Muda Johor,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

Selain itu, menerusi program seperti Dewan Muda Johor, Ruang Narasi, Hikmah Johor : International Youth Conference dan Johor Young Talent pula, Onn Hafiz berkata, Orang Muda Johor akan diperkasa sebagai pasukan pemikir.

“Yang boleh menyumbang idea-idea yang bernas, menyediakan medium demokratik yang tersusun dalam menyalurkan kritikan, ‘semak dan imbang’ kepada pentadbiran Negeri Johor.

“Kesemua inisiatif ini disusun untuk menyediakan Orang Muda Johor sebagai pemimpin dan generasi masa hadapan yang akan membawa Negeri Johor ke tahap yang lebih membanggakan dan berkepentingan global,” katanya.

Beliau memberitahu pembangunan Orang Muda Johor juga perlu diintegrasikan dengan semangat kesukarelawanan di mana Southern Volunteers akan diperkasa dan ditambah keahliannya.

“Melalui pelbagai inisiatif untuk meningkatkan peranan dan penyertaan mereka dalam aktiviti kesukarelawanan seperti Youth Engagement, Southern Volunteers (SV) Prihatin dan Skuad Muda SV.

“Selain itu, program pembangunan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) akan terus diperluaskan sebagai has kepelbagaian aktiviti Orang Muda Johor yang merangkumi aktiviti keusahawanan, kesenian, kebudayaan, sukan dan rekreasi,” katanya.

Onn Hafiz turut memaklumkan bahawa pembangunan TMIYC Iskandar Puteri yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2024 juga membuktikan keseriusan kerajaan negeri dalam membangunkan Orang Muda Johor secara terancang dan sistematik.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor