UTHM JALIN KERJASAMA UiTM DALAM PENYELIDIKAN TEKNOLOGI PERUBATAN


Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) menjalinkan kerjasama dengan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkaitan penyelidikan teknologi perubatan / Gambar Ihsan UTHM.

 

ISKANDAR PUTERI — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) menjalinkan kerjasama dengan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkaitan penyelidikan teknologi perubatan.

Jalinan kerjasama dilaksanakan mengikut geran penyelidikan Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) yang membabitkan kos sebanyak RM80,600.

Pensyarah Kanan FPTP, Dr Muhammad Ammar Shafi, berkata kerjasama kedua-dua universiti itu juga adalah sebahagian daripada program di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Katanya, projek berkenaan sudah diusahakan sejak pertengahan tahun lalu itu melibatkan kerjasama bidang penyelidikan dan pembangunan berkaitan pengurusan teknologi dalam mencari penyelesaian terhadap penentu gejala kanser paru-paru.

“UTHM dan UiTM mempunyai kekuatan tersendiri dalam memacu pembangunan penyelidikan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju serta berdaya saing dalam konteks sains dan teknologi.

“Menerusi usaha seumpama ini akan dapat mengetengahkan kepakaran yang terdapat di universiti masing-masing terutama dalam memenuhi keperluan industri dan komuniti khususnya dalam bidang pengurusan teknologi,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi UTHM.

Terdahulu kedua-dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UTHM dan UiTM di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, Selangor.

MoU itu ditandatangi Dekan FPTP UTHM, Prof Dr Wan Fauzi Wan Yusoff manakala UiTM diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor.

Muhammad Ammar berkata, menerusi perjanjian kerjasama bagi tempoh dua tahun itu juga selari dengan misi UTHM dalam menyediakan penyelesaian teknikal untuk keperluan industri serta komuniti dan seterusnya menyokong UTHM ke Arah Global Technopreneur Universiti pada 2030.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor