ILTIZAM KUAT KERAJAAN NEGERI SELESAI PROJEK SAKIT, TERBENGKALAI TAHUN INI


YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan (tengah) menyerahkan Sijil Notis Milikan Kosong (VP) kepada 13 pemilik kediaman Residensi PR1MA Larkin Indah, Johor Bahru. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Johor terus komited dalam memastikan lima projek sakit dan satu projek terbengkalai melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah kira-kira RM700 juta untuk diselesaikan pada tahun ini.

 

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor memaklumkan Kerajaan Negeri mengambil tindakan proaktif bersama pelbagai agensi di peringkat negeri mahupun persekutuan terutama berkaitan aspek teknikal.

 

Lima projek sakit dimaksudkan adalah Taman Desa, Tangkak; Taman Unas Permai, Muar; Residensi PR1MA Larkin Indah dan Taman Seri Molek Perdana, Johor Bahru serta Taman Impiana, Kulai. Manakala satu projek terbengkalai iaitu Taman Kulai Utama, Kulai.

 

Terdahulu, Mohd Jafni hadir menyempurnakan penyerahan Sijil Notis Milikan Kosong (VP) kepada 13 pemilik kediaman Residensi PR1MA Larkin Indah, Johor Bahru. Perumahan berkenaan merupakan projek sakit yang tertangguh selama tiga tahun melibatkan 1,174 unit.

 

Bagaimanapun, pemilik kediaman Residensi PR1MA Larkin Indah kini boleh menarik nafas lega apabila penantian mereka selama ini berakhir dan penyerahan kunci sepenuhnya akan dilakukan secara berfasa mengikut blok kediaman dalam tempoh 14 hari.

 

Untuk rekod, lima projek sakit melibatkan nilai GDV berjumlah RM300 juta telah berjaya diselesaikan Kerajaan Negeri dalam tempoh dua tahun lalu, yang sekali gus mencerminkan komitmen merealisasikan impian Bangsa Johor memiliki kediaman sendiri.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor