IMFC-J TARIK PELABURAN BERNILAI TINGGI KE JOHOR


Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Pejabat IMFC-J di Carnelian Tower, Forest City. | Foto Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Pelancaran Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) di Forest City dijangka melonjak negeri ini menjadi destinasi mesra pelabur utama menerusi kerjasama erat antara Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Invest Johor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

Setakat Januari lalu, IMFC-J telah menerima 88 pertanyaan berkaitan pelaburan dengan sebahagian daripadanya membabitkan aspek pengembangan projek sedia ada dan pelaburan baharu yang telah berjaya dilaksanakan dalam tempoh 11 hingga 12 bulan.

 

IMFC-J disifatkan YBhg. Natazha Harris, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor sebagai medium terbaik untuk menangani sebarang cabaran dalam usaha menjayakan pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City, selain ia juga berperanan dalam mempercepat proses pelaburan melalui perkhidmatan nasihat dan fasilitasi pelabur.

 

Kerajaan Negeri melalui IMFC-J juga komited untuk menarik kira-kira 50 syarikat dalam tempoh lima tahun dan 100 syarikat dalam tempoh 10 tahun sebagai usaha untuk memperkukuhkan lagi ekosistem pelaburan di negeri ini disamping sokongan daripada inisiatif Johor Super Lane (JSL) bagi menyumbang pertumbuhan ekonomi negeri dengan lebih pesat.

 

Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Pejabat IMFC-J di Carnelian Tower, Forest City, hari ini.

 

Hadir sama, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

 

Turut hadir ialah YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi Negeri Johor; YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor dan YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

 

#WTN
#IMFCJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor