INISIATIF MMU KONGSI ILMU KEPADA PELAJAR JOHOR DIPUJI
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor memuji inisiatif dilakukan oleh Universiti Multimedia (MMU) dalam melaksanakan Program Sekolah@MMU Perdana Darul Ta’zim melibatkan sekolah di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, program berlangsung selama tiga hari dua malam berkenaan sudah dilaksanakan di lima buah sekolah.
Menurutnya, inisiatif murni pihak MMU itu bertujuan memperluaskan kemahiran dan ilmu teknologi maklumat serta keusahawanan kepada pelajar di negeri ini.
“Dalam pada masa yang sama usaha murni yang dilaksanakan oleh MMU ini adalah sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0 yang menyaksikan pertumbuhan pesat dalam bidang IT sekali gus memberikan persediaan yang mencukupi kepada pelajar tentang kemahiran-kemahiran penting berkaitan dengan bidang ini.
“Program Sekolah@MMU Perdana Darul Takzim ini juga dapat meningkatkan tahap kemahiran IT dalam kalangan pelajar dan seterusnya memperkasakan nilai kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja dalam era Revolusi Perindustrian 4.0,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Sabtu.
Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan perasmian penutup Program Sekolah@MMU Perdana Darul Takzim di Sekolah Menengah Sains Sembrong.
Hadir sama, ADUN Seri Medan merangkap Pengerusi Yayasan Makmur Johor Daerah Batu Pahat, Dato’ Zulkurnain Kamisan serta Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud.
Norlizah berkata, Program Sekolah@MMU Perdana Darul Takzim wajar dipuji kerana amat bertepatan dengan permintaan tenaga kerja melalui statistik kadar pengangguran pada masa depan.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor