GERAKAN KOPERASI JOHOR JADI PEMANGKIN EKONOMI NEGERI : EXCO HAIRI


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah hadir ke Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi di Kota Kinabalu, Sabah. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan pengiktirafan kepada usahawan dan pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) bagi menghargai peranan mereka dalam industri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata kredibiliti Gerakan Koperasi di negeri ini mampu menjadi pemangkin dan merangsang ekonomi Negeri Johor.

 

“Saya melihat sendiri usahawan dan pengusaha IKS yang lahir daripada koperasi ini perlu diberikan pengiktirafan sewajarnya berikutan peranan mereka dalam membantu memacu ekonomi negeri mahupun negara,” katanya.

 

“Gerakan Koperasi Negeri Johor berjaya merekodkan aset terkumpul sebanyak RM1.35 bilion menerusi 1,462 koperasi, selain menghasilkan perolehan sebanyak RM715 juta,” katanya dalam laman Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Mohd Hairi hadir ke Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah sempena meraikan Bulan Koperasi Kebangsaan 2023.

 

Beliau bersama Exco negeri lain yang memegang portfolio Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut membincangkan kaedah yang sesuai bagi pihak Kerajaan Negeri melaksanakan pengagihan dividen koperasi bagi ahli usahawan koperasi bagi setiap negeri.

 

“Saya juga sempat berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick untuk beliau lihat dengan lebih dekat koperasi-koperasi di Negeri Johor serta pusat atau hab ‘trading’ khususnya.

 

“Pusat tersebut akan menjadi tempat pengumpulan produk usahawan IKS menerusi satu sistem yang lebih tersusun serta bersistematik supaya produk tempatan itu tidak hanya terkenal di kawasan atau daerah itu sahaja, malah dikenali di seluruh negeri dan negara,” jelasnya.

 

Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara Tahun 2023 akan berlangsung hari ini di Sabah International Convention Centre (SICC) oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor