INTERVENSI KERAJAAN NEGERI TEMUI PENYELESAIAN


YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor melawat tapak projek Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Memahami keresahan rakyat selaku pembeli, Kerajaan Negeri menggiatkan usaha menyelesaikan projek perumahan dikenal pasti sebagai ‘sakit’ termasuklah fasa ketiga Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana yang melibatkan 224 unit.

 

Langkah intervensi diambil dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan itu membolehkan fasa tersebut yang dijadualkan siap pada tahun 2013 dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan lagi.

 

Malah projek melibatkan unit rumah kos sederhana Blok D dan kos rendah Blok E itu juga kini dalam proses akhir penilaian teknikal bagi kelulusan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) sebelum pembeli boleh menerima kunci kediaman masing-masing.

 

Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana merupakan projek sakit terakhir kendalian Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di negeri ini, selepas tindakan proaktif Kerajaan Negeri memastikan tiada Bangsa Johor terpaksa menanggung kerugian berganda dalam memiliki kediaman sendiri.

 

Antara projek sakit lain yang turut diberikan perhatian adalah fasa kedua Taman Impiana, Kulai; Taman Sri Unas Permai, Muar; Taman Sri Saujana, Kota Tinggi serta Taman Permata Layang, Layang-Layang melibatkan nilai pembangunan lebih RM412 juta.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor melawat tapak projek Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, hari ini. Turut hadir, YB Liow Cai Tung, Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Johor Jaya serta Ybhg. Mohd Khairul Azli, Pengurus Projek SPNB Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor