MENTALITI MENANG JADI RAMUAN KEJAYAAN JDT


Skuad JDT IV mudah menundukkan pasukan Terengganu yang bertandang ke Stadium Mini Kulai, Johor dengan jaringan 3-0.

 

Mentaliti menang… menang… menang. Itulah antara faktor penting yang diterapkan dalam Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), tidak kira sama ada peringkat akar umbi hinggalah tahap pasukan elit.

 

Justeru, peminat bola sepak di seluruh tanah air tidak perlu berasa hairan sekiranya pasukan JDT meraikan kemenangan penuh bangga sebaik habis sesuatu perlawanan kerana perkara pertama yang dididik setelah menjejakkan kaki ke bumi Harimau Selatan ini adalah mentaliti menang dan sentiasa dahagakan kemenangan dalam pertandingan.

 

Tarikh 25 Mei 2024 telah menjadi sejarah yang harus dikenang oleh skuad Harimau Selatan apabila lima pasukan bertanding dalam lima kategori liga yang berbeza berjaya mencatat 5 kemenangan dan sudah pasti ia adalah satu prestasi yang luar biasa.

 

Bermula dengan skuad akar umbi JDT yang bertanding di seberang tambak untuk Liga Remaja Singapura di mana skuad bawah-13 JDT memperagakan belangnya apabila mudah membelasah Haogang Utd sebanyak 11 gol tanpa balas, diikuti dengan skuad bawah-15 JDT yang berjaya menyumbat lapan gol tanpa balas ke atas Tanjong Pagar Utd.

 

Skuad JDT IV pula mudah menundukkan pasukan Terengganu yang bertandang ke Stadium Mini Kulai, Johor dengan 3-0, membuatkan pasukan ini selesa berada di puncak liga dalam Kumpulan B, Piala Belia 2024.

 

Aksi cemerlang ini diteruskan di Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur yang menyaksikan skuad elit JDT umpama ‘main petang-petang’ menewaskan KL City FC dengan jumlah jaringan 5-1. Walaupun adegan drama sistem VAR sedikit mengganggu perlawanan, namun ia ternyata tidak mengganggu mentaliti menang yang ditunjukkan.

 

Tumpuan sebelah malam pula beralih arah ke aksi panas Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) antara skuad futsal JDT dan Pahang Rangers berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG). Skuad futsal JDT menang bergaya 4-3, sekali gus meneruskan penguasaan takhta liga tanpa sebarang kekalahan.

 

“Saya mahukan lebih, dan saya mahukannya lebih lagi sekarang. ‘Winning mentality’ bukan sahaja melakukan apa yang diperlukan untuk memenangi perlawanan; ianya juga mengenai bercita-cita besar dan memastikan segalanya diberikan perhatian untuk memenuhi impian itu.” – DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

 

#Chapter2
#SudutPandangPenyokong
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor