JDT BERGAYA MELANGKAH KE SEPARUH AKHIR


JDT akan bertemu dengan The Red Giants dalam aksi Separuh Akhir Piala FA 2023 | Foto Ihsan, FB Johor Southern Tigers.

 

ISKANDAR PUTERI — Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke peringkat Separuh Akhir Piala FA 2023 selepas melakar kemenangan 5-0 ke atas Penang FC dalam aksi Suku Akhir di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

 

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, Harimau Selatan mempamerkan penguasaan permainan dengan asakan bertali arus ke gawang lawan, sehingga meraih gol pertama perlawanan menerusi jaringan sendiri pemain pelawat, Ousmane Fane pada minit ke-32.

 

Pasukan bimbingan Esteban Solari tidak menunggu lama untuk menggandakan jaringan selepas siri serangan yang dilancarkan membuahkan hasil pada minit ke-38 apabila pemain pertahanan, Jordi Amat meledak gol kedua perlawanan.

 

Pemain sayap lincah, Arif Aiman mencetak nama selaku penjaring gol ketiga perlawanan pada minit ke-49 dengan menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil, selepas bola terkena tangan pemain skuad Harimau Kumbang di dalam kotak penalti.

 

Stadium Sultan Ibrahim terus gamat dengan sorakan penyokong Harimau Selatan apabila tuan rumah melebarkan jurang menerusi La’Vere Corbin-Ong pada minit ke-58 sekali gus meletakkan Juara Piala FA 2022 terus selesa mendahului dengan empat gol.

 

Penyerang JDT, Syafiq Ahmad yang masuk sebagai pemain gantian turut mencipta nama selaku penjaring bagi gol kelima perlawanan dengan membuat lencongan yang menerjah gawang pasukan pelawat ketika permainan berada dalam masa tambahan.

 

Kemenangan ke atas Penang FC menyaksikan JDT selaku penyandang juara akan bertemu dengan The Red Giants dalam aksi Separuh Akhir Piala FA 2023, yang telah melayakkan diri selepas menewaskan Negeri Sembilan FC di Paroi, semalam.

 

Satu lagi aksi Separuh Akhir menemukan Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC. Skuad Penyu pada perlawanan suku akhir berjaya menewaskan Kelantan FC semalam, sementara The City Boys membuat kejutan menumpaskan Sabah FC petang tadi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor