SIRKIT REMAJA DIJENAMAKAN KEPADA RISEUP GOLD JUNIOR


Program Sirkit Remaja Johor anjuran Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) diberikan nafas baharu dengan penjenamaan semula kepada RiseUp Gold Junior 2023. | FOTO MDJ,Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Program Sirkit Remaja Johor anjuran Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) diberikan nafas baharu dengan penjenamaan semula kepada RiseUp Gold Junior 2023.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, bagaimanapun, program diperkenalkan sejak tahun 2018 itu mengekalkan syarat dari segi kategori usia.

 

“Bermula 2023, MSNJ telah ‘rebranding’ logo dan nama program sepenuhnya dan masih melibatkan kategori umur yang sama iaitu di bawah 16 tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Logo RiseUp Gold Junior 2023, di sini, hari ini.

 

Mohd Hairi berkata, antara acara dalam program pembangunan atlet itu adalah wushu, memanah, silat, judo, kanu, petanque selain beberapa sukan lain yang akan ditambah pada masa akan datang.

 

Katanya, RiseUp Gold Junior 2023 merupakan platform mencungkil bakat berpotensi bagi mewakili Negeri Johor ke Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Sarawak pada tahun 2024.

 

Dalam ucapan sama, beliau turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada atlet-atlet Johor yang telah menyumbang pingat kepada kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja 2023 pada 5 hingga 17 Mei lalu.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor