PEMBANGUNAN AKAR UMBI TERUS DIBERIKAN KEUTAMAAN


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, langkah berkenaan untuk meneruskan kesinambungan kejayaan diraih sebelum ini. | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Pembangunan sukan di peringkat akar umbi terus menjadi keutamaan kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) bagi mencungkil bakat baharu berpotensi mewakili negeri.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, langkah berkenaan untuk meneruskan kesinambungan kejayaan diraih sebelum ini.

 

Menurutnya, pencapaian cemerlang kontinjen Johor menjuarai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 perlu dipertahankan menerusi usaha melahirkan barisan atlet pelapis menerusi program pembangunan akar umbi.

 

“Ia merupakan proses pembangunan jangka masa panjang dan saya percaya banyak bakat-bakat baharu yang akan kita dapat selain melahirkan lebih ramai pelapis pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Logo Kejohanan RiseUp Gold Junior, di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ ‘On Jabbar; Pegawai Belia dan Sukan MSNJ, Mohammad Taqiyuddin Poniran dan Setiausaha Majlis Sukan Daerah Segamat, Muhammad Lutfi Abas.

 

Mohd Hairi berkata, kerajaan negeri juga sentiasa menyokong serta bersedia memberikan bantuan dalam memastikan kejayaan agenda sukan dapat dicapai.

 

“Bukan sahaja sokongan pihak sekolah, kerajaan negeri akan terus menyokong melalui memperkemaskan peringkat dasar dalam menjayakan pembangunan ini.

 

“Justeru itu, kerajaan negeri melalui MSNJ sentiasa menyokong pembangunan sukan selaras dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menjadikan Negeri Johor sebagai ‘Sports Powerhouse’ menjelang 2030,” katanya beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor