JDT NAIK 126 TANGGA, KINI RANKING DI KE-447 DUNIA
ISKANDAR PUTERI — Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berada di tangga ke-447 dunia selepas melonjak naik 126 tangga dalam ranking kelab dunia sejak awal tahun lalu.
Menerusi perkongsian di laman Facebook JOHOR Southern Tigers, kedudukan itu juga menjadikan JDT kini berada di kedudukan ke-31 Asia dan tempat kedua di Asean mengikut data yang dikeluarkan oleh laman Opta Analyst, semalam.
“JDT menunjukkan peningkatan dalam ranking kelab bola sepak dunia dengan kini berada di tangga ke-447 Dunia, ke-31 Asia dan kedua Asean mengikut data yang dikeluarkan laman Opta Analyst.
“Laman analisis bola sepak yang menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia turut menunjukkan Harimau Selatan berjaya mengumpul 72.7 mata, sekali gus naik 126 tangga dari tangga ke-573 pada Februari 2023,” jelas kenyataan itu.
Di peringkat Asean, JDT berada di dibelakang Kelab Bola Sepak Buriram United daripada Thailand yang berada di tangga ke-418 dengan 73.1 mata, manakala bagi peringkat Asia pula, Kelab Bola Sepak Al-Ittihad daripada Arab Saudi unggul di tangga pertama dengan 83.1 mata.
“Tiada pasukan lain dari Malaysia yang berada dalam kedudukan 500 teratas, malah pasukan lain Liga Malaysia berada di tempat 2,148 dan ke bawah,” jelas kenyataan sama.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor