HOSPITAL PAKAR SULTANAH FATIMAH BAKAL DINAIK TARAF


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan sebanyak RM257,640 itu adalah bagi melaksanakan cadangan pembangunan infrastruktur dan fasiliti di HPSF. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor meluluskan peruntukan bagi menaik taraf Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan sebanyak RM257,640 itu adalah bagi melaksanakan cadangan pembangunan infrastruktur dan fasiliti di HPSF.

 

“Antara cadangan pembangunan infrastruktur yang telah diutarakan ialah pertama, penambahan jumlah katil di wad kecemasan, kedua, menaik taraf wad hospital yang telah uzur.

 

“Ketiga, memindahkan unit pentadbiran ke Blok M (Bakawali) yang sudah tidak digunakan,” katanya di laman Facebook rasminya pada Isnin.

 

Onn Hafiz berkata, penambahbaikan HPSF dilihat mampu mengurangkan kesesakan serta memberi keselesaan kepada para petugas kesihatan hospital berkenaan.

 

“Saya yakin kerjasama semua pihak di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mampu disepadukan, agar seluruh Bangsa Johor mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Insya-Allah,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor