JDT PAMER AKSI KELAS TERSENDIRI ‘BELASAH’ PJ CITY FC
JUARA ‘triple hat-trick’ Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan aksi kelas tersendiri ketika menewaskan PJ City FC 4-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.
Skuad kendalian Hector Bidoglio tidak menunggu lama untuk menghukum tuan rumah menerusi gol pertama tandukan kencang Shahrul Saad pada minit ke-4 hasil sepakan sudut yang diambil oleh Arif Aiman.
Meskipun beraksi tanpa kelibat Bergson da Silva dan Naxto Insa, pasukan pelawat menguasai keseluruhan permainan separuh masa pertama dengan beberapa siri serangan ke atas pertahanan serta gawang PJ City FC.
Pemain sayap, Safawi Rasid menemui sentuhan magis apabila meledakkan gol kedua JDT pada minit ke-39 selepas menerima hantaran jauh Shahrul Saad yang kemudiannya disudahkan dengan lambungan menerjah gawang PJ City FC.
Bermula separuh masa kedua, pasukan kendalian P. Maniam memperkemaskan permainan dan mengatur serangan untuk menembusi benteng pertahanan JDT seterusnya meraih gol pertama.
Bagaimanapun, serangan balas dilakukan JDT membolehkan pemain gantian, Akhyar Rashid mudah menolak bola ke gawang lawan sekali gus mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-70 bagi gol ketiga pasukan.
Pemain import JDT, Fernando Forestieri yang baru pulih daripada kecederaan menambah luka PJ City FC di laman sendiri apabila menghasilkan gol ke-empat pasukan selepas menerima hantaran Arif Aiman pada minit ke-79.
Skuad Harimau Selatan yang pulang ke selatan tanah air dengan bekalan selesa dijadualkan bertemu PJ City FC untuk perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, pada 31 Oktober ini.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor