JETCO LAKSANA INISIATIF TARIK PELABURAN, KERJASAMA PINTAR DENGAN AGENSI SINGAPURA


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han ketika menjawab solan pada Persidangan Dewan Negeri Johor Ke-15 / Gambar Ihsam MEDKOM Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menarik lebih banyak peluang pelaburan dan kerjasama menerusi usahasama pintar bersama agensi berkaitan dari Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han, berkata pada tahun ini sahaja, JETCO telah pun mengadakan beberapa sesi libat urus yang membabitkan 15 agensi berkaitan yang berpangkalan di Singapura.

Katanya, selain itu JETCO juga turut menyertai tiga ekspo berkaitan perdagangan dan pelancongan di negara berkenaan serta terlibat dalam beberapa siri lawatan suai kenal dari Singapura ke Johor seperti promosi perkhidmatan feri dari negara seberang tambak itu ke Desaru Coast.

“Pegawai dari JETCO turut dilibatkan dalam lawatan YAB Menteri Besar Johor ke Singapura pada April lalu serta jawatankuasa saya ke Singapura yang diadakan pada September dan ia memberi impak positif dan memberangsangkan.

“Bagi tujuan penyelarasan inisiatif dan hebahan program bagi 2023, JETCO sudah menganjurkan perbincangan kumpulan fokus bersama agensi berkaitan pada 14 November lalu,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Dato’ Ir Hasni Mohammad mengenai inisiatif yang bakal dilaksanakan JETCO di Singapura terutama sekali dalam melipatgandakan peluang kerjasama Johor-Singapura dalam bidang pembangunan mampan.

Ting Han yang juga ADUN Paloh berkata, beberapa inisiatif telah dicadangakanhasil dapatan daripada sesi perbincangan yang sudah dilaksanakan.

“Pertama ialah kerjasama berkaitan isu keselamatan makanan untuk meningkatkan produktiviti dan rantaian bekalan makan.

“Kedua ialah kerjasama berkaitan latihan tenaga pengajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan ketiga ialah perkongsian idea serta amalan baik berkaitan bandar dan komuniti mampan,” katanya.

Sebagai tambahan, beliau berkata, Belanjawan Negeri 2023 ini kerajaan negeri akan melaksanakan Kajian Pelan Induk Pembangunan Hijau di bawah Program United Kingdom Partnering for Accelerated Climate Transitions.

“Selain itu, Program Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon turut akan diteruskan dan penggunaan kenderaan elektrik dalam bandaraya akan digalakkan.

“YAB Menteri Besar juga telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura pada April lalu dan Setiausaha Tetap kementerian berkenaan pada Julai lalu berkaitan kerjasama dalam bidang ini,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor