SEGAMAT DESTINASI PELANCONGAN AGRI – EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor mempunyai perancangan untuk membangunkan sektor pelancongan di daerah Segamat sebagai destinasi pelancongan agri atau Orchard Route berdasarkan Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor 2014-2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, antara langkah dicadangkan dalam pelan induk itu adalah membangunkan aktiviti pelancongan berasaskan dusun buah-buahan.

“(Selain itu) menaik taraf kemudahan fizikal, aktiviti dan perkhidmatan tarikan pelancongan daerah Segamat khususnya di empat produk sokongan pelancongan sedia ada iaitu Air Panas Labis, Taman Bunga Batu Hampar, Hutan Lipur Sungai Bantang dan Taman Negara Endau-Rompin Selai.

“(Langkah lain) menaik taraf stesen KTMB Segamat sebagai Stagging Point ke tarikan pelancongan daerah Segamat khususnya eko-pelancongan; pembangunan pakej pelancongan agri serta penganjuran Festival Buah-Buahan Antarabangsa Segamat,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Jementah, Ng Kor Sim mengenai langkah dijalankan oleh bagi membangunkan sektor pelancongan di Jementah dan Segamat.

Raven Kumar berkata, cadangan-cadangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan melibatkan pelbagai agensi antaranya Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Perbadanan Taman Negara Johor, Jabatan Pertanian Negeri Johor serta Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

Ujarnya, selain itu Tourism Johor dengan kerjasama pelbagai pihak akan terus mempergiatkan aktiviti mempromosikan produk pelancngan melalui saluran media elektronik dan cetak dengan mensasarkan segmen eko-pelancongan sebagai intipati utama destinasi.

“Dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan industri serta medium digital sebagai contoh Johor Toursim Interchange (JTI), pakej pelancongan dan maklumat berkaitan produk ini boleh diakses kepada ahli industri teurtama kepada pelancong di negara jiran,” katanya.

Selain itu, Raven Kumar berkata, antara langkah yang telah dijalankan Jawatankuasa Pelancongan Pejabat Daerah Segamat bagi membangunkan sektor pelancongan di Jementah dan Segamat adalah menurap jalan Bukit Jementah yang telah memberi kemudahan kepada pengunjung dan pelancong untuk menjalankan aktiviti beriadah ke puncak Bukit Jementah.

”(Selain itu) pemasangan papan tanda di Bukit Cinta untuk mempromosikan kepada pengunjung tempat baru yang ada di Jementah. Menaik taraf Dataran Segamat dan Taman Rekreasi Batu Hampar untuk kemudahan pengunjung melakukan aktiviti bersama keluarga.

”Pemeriksaan Majestic Johor Standard melibatkan produk pelancongan di Segamat, pelaksanaan papan tanda tunjuk arah lokasi pelancongan di sekitar bandar Segamat serta lukisan bidai kayu di sekitar kedai-kedai dalam kawasan bandar Segamat di bawah Program Festival Bitara Seni oleh Balai Seni Negara,” katanya.

Beliau turut memberitahu langkah yang akan dijalankan untuk membangunkan sektor pelancongan di Jementah dan Segamat adalah menaik taraf prasarana Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Jementah bagi kemudahan pengusaha tanaman durian untuk memasarkan hasil tanaman.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor