DUTA JAUHAR TINGKAT SOSIOEKONOMI RAKYAT MENERUSI SISWA


Sebanyak RM200,000 diperuntukkan kepada 30 projek menerusi Program Duta Jauhar 2024. | Foto Yayasan Pelajaran Johor

 

Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan signifikan mahasiswa anak Johor dengan mengangkat idea kreatif dan inisiatif meningkatkan sosioekonomi rakyat yang diketengahkan menerusi pelaksanaan siri ke-10 Program Duta Jauhar pada tahun ini.

 

Sebanyak 30 projek sudah diluluskan dalam Program Duta Jauhar 2024 selepas melalui proses pembentangan kepada Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang kemudiannya disaring sebelum terpilih menerima geran daripada peruntukan keseluruhan berjumlah RM200,000.

 

Antaranya, projek Miracle Al-Quran 2.0 oleh kumpulan mahasiswa dari Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) yang sebelum ini menerima pengiktirafan Program Sukarelawan Terbaik dan Anugerah Program Terbaik Negeri Johor pada Anugerah Ikon Siswa Johor 2023.

 

Sejak pelaksanaan bermula tahun 2014, sebanyak 246 projek berimpak kepada masyarakat telah dilaksanakan oleh 3,249 mahasiswa anak Johor di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini, yang memberi manfaat kepada lebih 53,000 orang.

 

Kesemua projek yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada tujuh teras iaitu keusahawanan sosial, kesukarelawanan, gaya hidup sihat, pembangunan pendidikan, sains dan teknologi serta kelestarian alam dan seni budaya.

 

Program Duta Jauhar telah menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak antaranya Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Southern Volunteers (SV).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor