JOHOR AKAN LIHAT KEPERLUAN PERBANYAKKAN CLQ


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah semasa tinjauannya ke Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) Senai 4, semalam. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor akan melihat keperluan untuk memperbanyakkan pembinaan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) bagi memenuhi kriteria dan piawaian antarabangsa khususnya bagi pekerja asing.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, isu penempatan pekerja asing menjadi anatra perkara dititik beratkannya dalam usaha ke arah menjayakan agenda Maju Johor.

 

Bagi tujuan tersebut, beliau mengadakan lawatan ke CLQ Senai 4 isitu yang pertama di Malaysia diiktiraf dan memiliki sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) oleh Green Building Index Accreditation Panel.

 

“Saya sendiri teruja melihat Senai 4 yang dibina dengan kos RM40 juta seluas 1,192.6 kaki persegi apabila CLQ ini seperti sebuah pangsapuri yang lengkap dengan perabut dan kelengkapn rumah membolehkan pekerja asing tinggal dalam keadaan lebih selesa dan tidak perlu bersesak lebih 10 orang dalam satu rumah.

 

“Selain lengkap dengan bilik, bilik air, dapur dan ruang tamu, CLQ ini juga memiliki kemudahan kedai runcit, dobi selain dilengkapi dengan sistem sekuriti berteknologi tinggi,” katanya, semalam.

 

Selain CLQ Senai 4, Mohd Hairi berkata, beliau turut meninjau CLQ i-Stay di Senai Airport City dan i-Stay di Indahpura 2, Kulai untuk melihat sendiri keadaan serta situasi di tempat ini.

 

“Saya akan duduk dengan pihak berkaitan bagi melihat keperluan untuk diperbanyakkan lagi pembinaan CLQ seperti ini bagi memenuhi kriteria dan piawaian antarabangsa khususnya bagi pekerja asing.

 

“Berdasarkan perangkaan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), sepanjang tempoh empat bulan bermula Januari hingga April 2023 ini, JTK sudah menerima sebanyak 607 permohonan penginapan CLQ, membabitkan 340 majikan dan 22 penyedia penginapan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor