TINGKAT KEFAHAMAN KEPENTINGAN KESELAMATAN, KESIHATAN PEKERJAAN


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah hadir ke Pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Johor bagi menjalankan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514). | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Johor diminta untuk menyusun dan mengatur sesi pemantauan selain tinjauan ke tapak projek, kilang, hotel atau restoran.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, tindakan itu bagi menjalankan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

 

Beliau melihat terdapat keperluan JKKP meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai aspek kesihatan dan kesihatan pekerjaan termasuk melibatkan golongan usahawan di negeri ini.

 

“Saya melihat JKKP juga boleh bekerjasama rentas portfolio di bawah saya antaranya dengan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd bagi memberi pendedahan kepada usahawan kerana saya difahamkan masih ramai usahawan yang masih belum mengetahui peri pentingnya aspek keselamatan dan kesihatan pekerja.

 

“Selepas ini juga, saya sudah meminta JKKP Negeri Johor untuk menyusun dan mengatur sesi pemantauan pada Selasa serta tinjauan ke tapak projek, kilang, hotel atau restoran bagi melihat menjalankan penguatkuasaan Akta 514,” katanya, semalam.

 

Akta 514 merangkumi semua sektor pekerjaan iaitu pengilangan perlombongan dan penguarian; pembinaan; pertanian; perhutanan; perikanan; kemudahan gas, elektrik dan air; perkhidmatan kebersihan; pengangkutan; penyimpan dan komunikasi; perdagangan borong dan runcit; hotel dan restoran; kewangan, insuran, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan; serta perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun.

 

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan kepada JKKP Negeri Johor atau DOSH sempena hari bagi portfolio Sumber Manusia pada setiap Selasa.

 

Kehadirannya disambut oleh Timbalan Pengarah (Operasi) JKKP Negeri Johor, Jamadi Yusup bersama warga kerja jabatan berkenaan.

 

JKKP merupakan jabatan yang menguatkuasakan Akta 514 serta Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor