JOHOR BERADA LANDASAN TEPAT REALISASI BANDAR PINTAR


Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia), TPr Dr. Alias Rameli berkata, penganjuran Forum Bandar Pintar Johor 2023 (JSCF) merupakan langkah positif mendapatkan hala tuju jelas merealisasikan hasrat itu. | Foto MDJ Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU — Negeri Johor berada di dalam landasan tepat dalam mempergiatkan hasrat untuk menjadi sebuah bandar pintar menjelang 2030.

 

Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia), TPr Dr. Alias Rameli berkata, penganjuran Forum Bandar Pintar Johor 2023 (JSCF) merupakan langkah positif mendapatkan hala tuju jelas merealisasikan hasrat itu.

 

Menurutnya, selain itu, pelancaran Pelan Induk Bandar Pintar Johor 2030 dalam forum itu semalam, juga menterjemahkan kesungguhan Kerajaan Negeri Johor.

 

“Ia (blueprint) sangat lengkap kerana melibatkan kesemua 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga agensi swasta yang boleh melaksanakan kesemua komponen yang digariskan secara perlahan, ‘quick win’ dan secara pertengahan.

 

“Saya melihat Johor ke depan dalam pelaksanaan agenda bandar pintar dalam konteks negara kita,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.

 

Alias turut memaklumkan pelaksanaan inisiatif di dalam Pelan Induk Bandar Pintar Johor 2030 itu memerlukan kerjasama erat antara pihak kerajaan dan swasta.

 

“Dokumen yang telah ada sekarang ini memerlukan peranan kita secara bersama untuk menggerakkan pelaksanaan inisiatif berkaitan bandar pintar yang pelbagai sifatnya.

 

“Ia bukan sahaja melibatkan PLANMalaysia Pusat bersama PLANMalaysia Johor, tetapi kerjasama dengan pihak swasta juga penting untuk kita sama-sama capai agenda bandar pintar,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah PLANMalaysia Johor, TPR Saidin Lateh berkata, forum anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama PLANMalaysia Johor itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada pemain industri dan kumpulan profesional.

 

“Kita dapati ramai pengunjung-pengunjung yang telah datang ke sini, bukan saja melihat pameran yang disediakan, tetapi juga mengikuti sesi forum yang menampilkan pakar-pakar dalam industri perancang bandar dan sebagainya.

 

“Mereka yang hadir juga telah didedahkan dengan perkembangan bandar pintar di Johor dan bagaimana peranan teknologi dapat menguruskan kehidupan pada masa depan,” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan pihaknya sudah merancang menganjurkan forum seumpama itu dalam tempoh dua tahun sekali bagi menghimpunkan pemain industri dan profesional.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor