RTBJ TAMAN KEMPAS UTAMA SIAP UNTUK DIDIAMI


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, dua lagi projek RTBJ iaitu di Bandar Putra, dekat Kulai dan Taman Laman Indah, Iskandar Puteri akan dilaksanakan | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Projek Rumah Transit Bangsa Johor melibatkan kos RM4.1 juta di Taman Kempas Utama, di sini, siap untuk didiami pada tahun ini.

 

Perumahan tersebut merupakan satu daripada tiga projek RTBJ yang dibina di negeri ini, bagi membantu rakyat memiliki rumah sendiri.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, dua lagi projek RTBJ iaitu di Bandar Putra, dekat Kulai dan Taman Laman Indah, Iskandar Puteri akan dilaksanakan.

 

Menurutnya, bagi projek RTBJ Taman Kempas Utama, sebanyak 490 permohonan diterima, namun hanya 92 unit sahaja ditawarkan kepada pemohon yang berjaya.

 

“Ini (RTBJ Taman Kempas Utama) adalah produk pertama untuk Bangsa Johor. Belanjawan yang lepas, kerajaan (negeri) telah meluluskan 408 unit RTBJ bernilai RM17.2 juta dan ia secara berfasa.

 

“Tahun ini kita laksanakan 92 unit di Taman Kempas Utama yang mana sudah siap dan tinggal (untuk) diduduki sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Undian Terbuka RTBJ Taman Kempas Utama, di sini, hari ini.

 

Mohd Jafni berkata, RTBJ melibatkan sewaan berjumlah RM650 yang terbahagi kepada RM460 untuk sewa kediaman manakala RM190 pula dalam bentuk simpanan tabungan.

 

“Mereka dibenarkan untuk menyewa dari tempoh dua hingga lima tahun. (Kemudian) kita anggarkan mereka dapat menyimpan RM11,400 dalam tempoh lima tahun.

 

“Jika pemohon hendak keluar kerana sudah mempunyai duit simpanan, kerajaan akan tawarkan rumah mampu milik kepada mereka,” katanya.

 

Beliau turut memberitahu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bercadang untuk menambah pembinaan RTBJ sehingga 1,000 unit dalam masa lima tahun.

 

Ditanya mengenai lonjakan harga hartanah di Singapura, Mohd Jafni berkata, situasi itu memberikan nilai tambah kepada negeri ini terutama kepada pemaju yang mempunyai unit kediaman tidak terjual atau ‘overhang’.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor