JOHOR BERPOTENSI MUNCUL ‘THE NEXT KLANG VALLEY’ – MENTERI BESAR


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata faktor kedudukan Johor yang strategik serta kemasukan pelabur asing yang sangat menggalakkan dilihat mampu merealisasikan hasrat tersebut. | Foto ihsan MedKom

 

ISKANDAR PUTERI — Misi menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 juga menyerlahkan potensi Johor menjadi ‘Lembah Klang Kedua’ hasil daripada lokasinya yang strategik dan dibantu oleh pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata faktor kedudukan Johor yang strategik serta kemasukan pelabur asing yang sangat menggalakkan dilihat mampu merealisasikan hasrat tersebut.

“Johor mempunyai potensi yang cukup tinggi untuk menjadi sebuah negeri yang maju. Kalau kita menggembleng tenaga dan berusaha, kita boleh jadi Lembah Klang kedua.

“Kita ada pelbagai kelebihan. Kedudukan geografi Johor terlalu strategik. Saya berpendapat bahawa Johor adalah tempat yang paling sesuai untuk pelabur luar datang kerana Johor dekat dengan Singapura dan Kuala Lumpur.

“Dari segi kos, pelaburan di Johor juga lebih murah 30 peratus dengan Kuala Lumpur dan 70 peratus dengan Singapura. Kerajaan Negeri juga akan pastikan pelaburan yang dibawa itu juga akan menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat,” katanya dalam program Agenda Awani, malam tadi.

Onn Hafiz juga berkeyakinan dengan pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri menjalin kerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan di dalam menyelesaikan isu legasi antaranya memperbaiki infrastruktur seperti Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), hospital dan jalan raya juga membuahkan hasil.

“Ada banyak perubahan di CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB). Kita mendapat bantuan daripada Kerajaan Persekutuan, mereka tambah 100 staf imigresen. InsyaAllah pada September nanti ada tambahan lagi 250 orang (kakitangan).

“Dari segi jalan-jalan di Johor, Kerajaan Negeri minta RM23 juta sahaja (peruntukan), tetapi selepas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turun ke Johor, beliau tambah tiga kali ganda kepada RM60 juta,” tambahnya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor