SEDIAKAN LAPORAN BAGI TINDAKAN SUSULAN – EXCO PENDIDIKAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh melakukan tinjauan ke SMK Tun Ismail, Batu Pahat susulan kejadian kebakaran yang barlaku di sekolah itu, baru-baru ini. | Foto Ihsan, FB Norliza Noh.

 

ISKANDAR PUTERI — Pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Ismail, Batu Pahat serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat diminta untuk menyediakan laporan terperinci susulan kejadian kebakaran berlaku di sekolah itu, baru-baru ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh, berkata ia termasuk laporan yang disediakan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

 

Norlizah berkata, laporan tersebut penting bagi memastikan pelajar di sekolah berkenaan dapat meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan yang lebih baik serta sempurna.

 

“Terdapat banyak kelas yang terlibat itu dipercayai membabitkan pelajar dari Tingkatan Dua dan Tiga dan mereka kini agak terjejas (mengikuti sesi akademik) akibat kejadian kebakaran tersebut.

 

“Saya meminta pihak sekolah dan juga PPD menyediakan laporan terperinci termasuk laporan dari pihak JBPM, pihak Keselamatan serta JKR bagi tindakan lanjut,” katanya di laman Facebook rasminya, semalam.

 

Terdahulu, Norlizah mengadakan lawatan ke SMK Tun Ismail bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Nor Rashidah Ramli bagi melihat sendiri keadaan kerosakan sekolah berkenaan akibat kejadian kebakaran terbabit.

 

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu secara langsung dan tidak langsung.

 

“Buat warga SMK Tun Ismail… ini adalah ujian buat semua, semoga tabah dan sabar. Insyallah, kita doa sama-sama agar segala urusan kita dipermudahkan,” katanya.

 

Pada 31 Mei lalu, SMKTI dikejutkan dengan kejadian kebakaran yang memusnahkan hampir satu aras bangunan pentadbiran sekolah termasuk tiga bilik darjah selain turut menyebabkan peralatan dan aset sekolah yang lain turut musnah.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor