SUNWAY BINA ‘EQUALBASE SUNWAY 103°’ ISKANDAR PUTERI


Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi hadir menyempurnakan pecah tanah ‘Equalbase Sunway 103°’ di Sunway Hotel Big Box, hari ini. | Foto MDJ, Wira Anggara

 

Kumpulan Sunway melakar satu lagi lembaran baharu apabila bakal mewujudkan fasiliti logistik ‘Equalbase Sunway 103°’ bernilai RM8 bilion di kawasan zon komersial bebas di Sunway City Iskandar Puteri.

 

Berupaya merancakkan sektor perkhidmatan, fasiliti dibina di atas tapak seluas 55 hektar itu bercirikan kelengkapan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti panel solar di atas bumbung bagi menjana tenaga lestari.

 

Pembinaan fasiliti ‘Equalbase Sunway 103°’ bagi fasa satu dijangka siap pada hujung tahun 2025 selain bakal mencipta kira-kira 13,000 peluang pekerjaan dan diyakini mampu mencapai nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga lebih RM8 billion.

 

Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah menzahirkan hasrat membangunkan Sunway City Iskandar Puteri sebagai pusat pembangunan koridor selatan Malaysia dan mengukuhkan status Johor sebagai negeri paling maju di negara ini.

 

Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi hadir menyempurnakan pecah tanah ‘Equalbase Sunway 103°’ di Sunway Hotel Big Box, hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han.

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor