JOHOR PERKUKUH KESIAPSIAGAAN HADAPI BENCANA MTL 2026/2027

Kerajaan Johor terus mempertingkat tahap kesiapsiagaan dalam menangani impak bencana menerusi penyelarasan agensi, persediaan pusat pemindahan sementara (PPS), pengurusan bantuan serta tindakan respons bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027. / Foto MEDKOM
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus mempertingkat tahap kesiapsiagaan dalam menangani impak bencana menerusi penyelarasan agensi, persediaan pusat pemindahan sementara (PPS), pengurusan bantuan serta tindakan respons bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Persediaan itu dibentangkan menerusi Taklimat Khas Kesiapsiagaan Bencana Negeri Johor Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), hari ini yang turut dihadiri YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Antara persediaan utama ialah penyediaan sebanyak 1,072 PPS di seluruh negeri ini dengan kapasiti keseluruhan 265,599 mangsa dengan daerah Batu Pahat merekodkan jumlah PPS terbesar iaitu 171 lokasi dengan kapasiti yang boleh menampung seramai 60,850 mangsa.
Sokongan operasi berkenaan turut diperkukuh melalui 196 pembekal makanan, 15,249 khemah jenis C-Tent dan 27,504 sukarelawan Southern Volunteers (SV). Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan turut menempatkan 11 kaunselor, 63 pasukan sokongan psikososial serta 510 sukarelawan membantu pengurusan mangsa dan operasi di PPS.
Johor dijangka mengalami satu hingga dua episod hujan lebat berterusan pada musim MTL 2026/2027 kali ini dan sehubungan itu, aspek pemantauan cuaca, penyampaian amaran awal, pengungsian penduduk serta kesiapsiagaan agensi untuk tindak balas terus diberi perhatian bagi memastikan tindakan pantas dapat dilaksanakan sekiranya berlaku bencana.
Pada masa sama, YAB Menteri Besar Johor menekankan kepentingan penglibatan komuniti dalam pengurusan bencana menerusi kerjasama erat daripada ketua-ketua kampung, ahli majlis, wakil rakyat dan sukarelawan bersama agensi keselamatan serta jabatan berkaitan bagi memastikan setiap bantuan dan tindakan kecemasan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.
Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada penyelarasan antara agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya berkaitan aspek tindak balas, teknikal, sokongan bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi fasa sebelum, semasa dan selepas kejadian.
Terdahulu, taklimat berkenaan disampaikan oleh YBhg TPj. (PA) Kamal Mokhtar,
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor yang merangkumi pelan pengurusan bencana, ramalan cuaca MTL, risiko geologi dan cerun, kesiapsiagaan PPS serta pengurusan operasi bencana di seluruh negeri ini.
#JohorSafeZone
#KesiapsiagaanBencana
#MonsunTimurLaut
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


