JOHOR PERKUKUH PERLINDUNGAN DAN KESEJAHTERAAN KANAK-KANAK

Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membina ekosistem perlindungan kanak-kanak yang lebih menyeluruh melalui pendidikan, sokongan keluarga dan penglibatan Masyarakat. | Foto Nurina Aisyah.
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor akan terus memperkukuh usaha melindungi kesejahteraan emosi, mental dan sosial kanak-kanak menerusi pelbagai program advokasi, pendidikan keselamatan siber serta intervensi psikososial.
Antara inisiatif utama ialah Program Celik Keselamatan Siber Kanak-Kanak Negeri Johor yang telah dilaksanakan di 80 sekolah bagi tempoh 2025 hingga September 2026 dengan penyertaan kira-kira 16,000 murid Tahun Empat hingga Tahun Enam.
Selain itu, Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Johor turut memberi pendedahan mengenai isu penderaan, pengabaian, eksploitasi, buli, gangguan seksual dan keselamatan diri melibatkan 3,521 pelajar daripada 16 sekolah sehingga November 2026.
Kerajaan Negeri turut memperkukuh peranan komuniti menerusi penubuhan Child Support Team (CST) Johor yang telah diperkenalkan pada 2023. Sehingga 2026, seramai 733 sukarelawan telah dilatih selain 381 ahli CST telah membuat rujukan kes kanak-kanak kepada pihak berkaitan bagi memastikan tindakan perlindungan terhadap golongan berkenaan dapat dilaksanakan.
JKM Negeri Johor juga turut menyediakan khidmat bimbingan dan kaunseling yang telah memanfaatkan 377 kanak-kanak sehingga September 2026, selain program psikopendidikan yang melibatkan 397 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak, ibu bapa dan penjaga.
Keseluruhan inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membina ekosistem perlindungan kanak-kanak yang lebih menyeluruh melalui pendidikan, sokongan keluarga dan penglibatan Masyarakat.
Terdahulu, YB Puan Hasrunizah Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor menjawab mengenai usaha memastikan kesejahteraan emosi dan mental kanak-kanak terpelihara pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMaju,RakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


