JOHOR PILIHAN PELABUR GLOBAL

 YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Oryx Stainless Malaysia Sdn. Bhd. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Johor terus menjadi destinasi pelaburan pilihan syarikat terkemuka antarabangsa apabila Oryx Stainless Malaysia Sdn. Bhd, sebuah syarikat dari Jerman-Belanda memilih negeri ini sebagai lokasi operasi terbaharu mereka di Asia Tenggara.

 

Dengan nilai pelaburan sebanyak RM40 juta, kehadiran Oryx Stainless yang beroperasi di Tanjung Langsat, Pasir Gudang akan memfokuskan kepada sektor pemprosesan sekerap keluli tahan karat, sekali gus membuktikan Johor merupakan destinasi strategik untuk pelabur antarabangsa, khususnya dalam industri kitaran semula yang mengutamakan kelestarian alam sekitar.

 

Pelaburan tersebut juga selari dengan inisiatif Kerajaan Johor dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030, sekali gus menjadikan negeri ini sebagai tarikan dan pilihan utama bagi syarikat yang mahu melabur secara bertanggungjawab dan lestari.

 

Melalui kemasukkan Oryx Stainless ke Johor, ia sudah pasti turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, selain membuka ruang kerjasama dengan universiti dan kolej di Johor menerusi program pembangunan bakat tempatan yang bakal dilaksanakan.

 

Dengan prestasi berjaya menarik pelaburan bernilai RM27.4 bilion pada suku pertama tahun ini, kedudukan Johor sebagai destinasi utama pelabur global semakin kukuh, ditambah dengan kehadiran beberapa syarikat antarabangsa terkemuka termasuk Oryx Stainless.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Oryx Stainless Malaysia Sdn. Bhd, hari ini.

 

Turut hadir ialah YB Dato’ Haji Mohd Noorazam Dato’ Haji Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) dan YBrs. Tuan Mohamad Reduan Mohd Zabri, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Johor.

 

#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor