PROGRAM BEEP TERIMA PERUNTUKAN RM1.2 JUTA DARI SME CORP


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah bersama pihak Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), semalam. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Bagi membantu usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS), Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp Malaysia) telah memperuntukkan RM1.2 juta bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP).

 

Program BEEP bertujuan bagi mewujud dan membangunkan PMKS Bumiputera yang berdaya saing, berdaya tahan dan dinamik menerusi bantuan bersepadu bagi memperkukuhkan teras perniagaan PMKS.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah, berkata peruntukan tersebut akan memberi keutamaan kepada sektor pembuatan iaitu makanan dan perabot serta sektor perkhidmatan meliputi peruncitan, kesihatan, bengkel dan restoran.

 

“Di Johor, sebanyak RM1.2 juta telah diperuntukkan bagi program BEEP yang menyediakan bantuan bersepadu bagi memperkukuhkan teras perniagaan PMKS sekaligus dapat membangunkan PMKS Bumiputera yang berdaya saing, berdaya tahan dan dinamik.

 

“Kriteria kelayakan untuk program ini termasuk memiliki perakuan status PMKS, syarikat bersaiz mikro, kecil dan sederhana, 60% ekuiti syarikat adalah milik Bumiputera serta beroperasi di premis perniagaan yang sah.

 

“Selain itu, sesuatu perniagaan itu mestilah telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan dan telah menjalani penilaian SCORE serta tidak mempunyai kepentingan dalam syarikat pembekal,” tulis Mohd Hairi di laman Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Mohd Hairi mengadakan kunjungan ke Pejabat SME Corp Malaysia Negeri Johor dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) yang merupakan dua daripada 49 agensi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ).

 

Tambah Mohd Hairi, sebanyak RM10 juta yang diperuntukkan sebelum ini telah memanfaatkan 450 PMKS seluruh negara membabitkan peruntukan berjumlah RM6.75 juta yang sudah dibelanjakan.

 

“Dalam masa yang sama, SME Corp juga menjalankan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) iaitu sebuah inisiatif kerajaan bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan.

 

“Malah, program yang mensasarkan golongan belia berkelulusan sijil Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga sedang dibuka permohonannya mulai 7 hingga 31 Mei ini,” ujarnya.

 

Sementara itu, beliau turut memaklumkan MIDF Wilayah Selatan mencatatkan angka yang memberangsangkan dengan meluluskan pembiayaan sehingga RM70 juta sepanjang tahun 2022 selain mahu terus menyampaikan maklumat berkenaan inisiatif yang boleh memanfaatkan buat usahawan negeri Johor.

 

“Kalau dilihat, dua agensi ini sahaja sudah menawarkan pelbagai bentuk produk bantuan kepada usahawan serta perniagaan yang boleh dimanfaatkan ramai khususnya di Johor. Mungkin ada yang sedia maklum, tetapi masih ada juga yang tidak mengetahuinya.

 

“InsyaAllah selaku Exco, saya akan memastikan maklumat seperti ini akan sampai dan diketahui ramai bagi membolehkan masyarakat telus serta dapat melihat sendiri bagaimana inisiatif kerajaan dapat memberi manfaat kepada semua,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor