JOHOR TUBUH PUSAT PENGUMPULAN HASIL DURIAN
Kerajaan Johor sedang menggerakkan usaha bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menubuhkan pusat pengumpulan hasil durian untuk mengelakkan berlakunya lambakan hasil tanaman tersebut di pasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip memaklumkan pusat itu dijangka beroperasi pada tahun hadapan sebagai persediaan bagi pengeluaran hasil durian secara besar-besaran dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Menerusi penubuhan pusat tersebut, hasil tanaman durian kemudiannya akan disimpan dan disejuk beku menggunakan teknologi sedia ada sebelum dipasarkan ketika luar musim dengan varian terkenal seperti Musang King, IOI dan D24 yang antara paling banyak ditanam di Negeri Johor.
Selain itu, penubuhan pusat berkenaan juga merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi mengeksport durian di luar musim selain mengelakkan berlakunya penurunan harga seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor