JOM TURUN@PPR TERIMA SAMBUTAN PENYEWA PPR, RSK


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor menyampaikan sumbangan MAINJ pada program Jom Turun@PPR di PPR Sri Stulang, semalam.

 

JOHOR BAHRU — Program Jom Turun@PPR berlangsung di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, semalam, menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

 

Hadir menyempurnakan perasmian program tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor.

 

Mohd Jafni berkata, program Jom Turun@PPR menampilkan tiga objektif utama untuk dimaklumkan kepada penyewa PPR dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK).

 

Menurut beliau, objektif pertama adalah kerajaan ingin memaklumkan kepada penyewa PPR dan RSK di seluruh Johor untuk mula membayar sewa bulanan masing-masing.

 

“Perkara kedua ialah JohorPay. Dulu mereka bayar melalui datang ke (pejabat) perumahan. Sekarang ini mereka boleh membayar melalui ‘online’.

 

“Dan yang ketiga, kita akan ambil tindakan kepada penyewa PPR yang menyewakan rumah mereka kepada orang lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program berkenaan.

 

Mohd Jafni berkata, PPR disediakan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) melalui kerajaan negeri.

 

Ujar beliau, penyewa membayar sewa bulanan serendah RM124 hingga RM250 bagi PPR manakala RM65 hingga RM200 bagi RSK.

 

“Hari ini kita beritahu penyewa mereka (perlu) mula membayar sewa bulanan setelah Kerajaan Johor di peringkat YAB Menteri Besar Johor mengumumkan sewa percuma selama dua tahun (tahun 2021 dan 2022).

 

“Bermula pada tahun ini, 1 Januari 2023 mereka kena mula membayar,” katanya.

 

Mengulas mengenai tindakan penyewa PPR menyewakan kediaman kepada pihak lain (sublet atau sewa atas sewa), Mohd Jafni berkata, rumah PPR dan RSK dibina untuk masyarakat dalam kumpulan B40.

 

“Tidak sepatutnya penyewa ini menyewakan rumah ini kepada pihak ketiga, dan ini merupakan satu kesalahan,” katanya.

 

Antara objektif lain program Jom Turun@PPR adalah memaklumkan kepada penyewa bayaran sewa PPR dan RSK bermula Januari 2023 mengikut jadual ditetapkan iaitu selewat-lewatnya setiap 7 haribulan pada setiap bulan.

 

Selain itu, dimaklumkan bahawa setiap hasil kutipan sewaan dapat membantu membaiki dan menaik taraf fasiliti PPR dan RSK.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor