GALAK MASYARAKAT JAGA KEBERSIHAN TEMPAT PELANCONGAN


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh melancarkan rogram Majestic Johor Clean Daerah Kota Tinggi Tahun 2023 | Sumber Facebook Norliza Noh.

 

ISKANDAR PUTERI — Program Majestic Johor Clean Daerah Kota Tinggi Tahun 2023 dilancarkan hari ini, di Pantai Tanjung Buloh, Sedili Kecil, dekat Kota Tinggi.

 

Pelancaran program telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh.

 

Hadir sama, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil; ADUN Sedili, Muszaide Makmor; ADUN Pasir Raja, Rashidah Ismail; ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin; ADUN Penawar, Fauziah Misri serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang, Fizwan Mohd Rashidi.

 

Dalam ucapannya, beliau berkata, program Majestic Johor Clean merupakan inisiatif Tourism Johor bersama daerah seluruh negeri ini, menggalakkan budaya menjaga kebersihan selain mempromosikan tempat pelancongan.

 

Menurutnya, inisiatif tersebut sejajar dengan hasrat Menteri Besar Johor dalam menjadikan Johor sebagai negeri yang paling bersih, ceria dan indah di negara ini.

 

“Daerah Kota Tinggi mempunyai kawasan pelancongan yang menarik terutamanya kawasan pesisir pantai yang indah.

 

“Sebagai contoh, kita lihat di sekitar pantai Tanjung Buloh ini dilengkapi dengan kawasan geografi yang indah dan menarik.

 

“Amatlah rugi jika kawasan seperti ini tidak dijaga kebersihan yang akhirnya akan merosakkan tempat ini sendiri,” katanya.

 

Norlizah yang juga ADUN Johor Lama menyeru kepada masyarakat untuk bersama menggalakkan budaya menjaga kebersihan alam sekitar di semua tempat pelancongan termasuklah di peringkat usia kanak-kanak lagi.

 

Selain itu, katanya, penglibatan semua pihak amat diperlukan bagi memastikan strategi penjagaan kebersihan dan mempromosikan tempat pelancongan menerusi Majestic Johor Clean 2023 dilaksanakan lebih efektif.

 

“Kerajaan Johor akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkukuhkan jenama Majestic Johor dengan mempromosikan destinasi pelancongan utama di 10 daerah yang mempunyai pelbagai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

 

“Selain kerjasama erat secara holistik bagi mencapai kesepakatan dan memperlihatkan Negeri Johor mampu bangkit kembali menjadi pilihan destinasi pelancongan utama serta selamat dikunjungi,” katanya.

 

Beliau turut berharap Majestic Johor Clean 2023 menterjemahkan komitmen dan kesungguhan Negeri Johor dalam meningkatkan lagi prestasi industri pelancongan di negara ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor