JSDC KOMITED LAHIR PEKERJA MAHIR
ISKANDAR PUTERI — Johor Skills Development Centre (JSDC) berjaya melahirkan hampir 70,000 pekerja mahir sehingga kini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Lee Ting Han berkata, kesemua kos latihan ditanggung oleh kerajaan.
Menurut beliau, JSDC komited membantu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Ijazah Sarjana Muda melengkapkan diri dengan kemahiran diperlukan pasaran.
“Ia secara langsung membantu menyelesaikan isu pengangguran di Negeri Johor. Ia juga secara langsung meningkatkan daya saing dan membantu Bangsa Johor untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi melalui latihan yang diberikan,” katanya menerusi siaran Facebook rasminya.
Terdahulu, Ting Han bersama Invest Johor mengadakan lawatan ke JSDC yang ditubuhkan sejak tahun 1993 oleh Johor Corporation (JCorp), semalam.
JSDC diwujudkan dengan matlamat menyediakan latihan teknikal dan meningkatkan tahap kemahiran tenaga kerja di Negeri Johor.
Ting Han berkata, JSDC juga merupakan institut latihan diluluskan pelbagai pihak sama ada dalam dan luar negara, sekali gus pemegang sijil menjadi rebutan pasaran pekerjaan.
“Saya mengucapkan penghargaan atas komitmen JSDC untuk melahirkan tenaga mahir untuk menampung pembangunan industri dan ekonomi Negeri Johor.
“Mudah-mudahan rancangan pembesaran JSDC dapat dijalankan dengan lancar demi kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor