GRADUAN UTHM LARIS


Graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kini menjadi rebutan majikan dan pihak industri / Gambar Ihsan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

 

BATU PAHAT — Lebih 90 peratus graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mendapat tempat dalam pasaran kerjaya dalam pelbagai sektor.

Statistik itu bedasarkan rekod graduan yang diambil dari tempoh 2019 hingga 2021 yang mencatatkan lulusan universiti awam yang berpangkalan di Johor itu berjaya memenuhi pasaran kerja.

Naib Canselornya, Prof Ir Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim, berkata pada tahun lalu terdapat 10 program pengajian di peringkat sarjana muda berjaya mencapai kadar GE 100 peratus.

“Sehingga kini, UTHM telah melahirkan seramai 53,760 graduan dalam pelbagai bidang di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.

“Melihatkan perkembangan memberangsangan ini, pihak UTHM akan cuba meningkatkan lagi pencapaian GE berkenaan pada tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook rasmi UTHM.

Ruzairi berkata, bagi memastikan graduan UTHM yang berdaya saing, pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan termasuk menjalin kerjasama dengan pihak industri dan juga program latihan berbentuk kemahiran semula serta peningkatan kemahiran.

“Di UTHM, pelajar diberi peluang untuk menyertai kursus pensijilan profesional atau kompetensi bagi menguasai kemahiran dalam bidang masing-masing seperti digital, kemahiran asas digital serta kemahiran khusus berasaskan bidang.

“Selain itu, program akademik di UTHM pula direka berdasarkan kokurikulum terpacu industri iaitu pelaksanaannya mengikut keperluan dan kehendak industri,” katanya.

Beliau berkata, UTHM menerusi Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni pula rancak mengajurkan program membantu graduan dalam mencari peluang kerjaya.

“Antara inisiatif dilaksanakan ialah penganjuran MyCareer@MOHE, Karnival Kerjaya Dalam Talian, Career Month @ Jobcentre, Bengkel Penulisan Resume, Program Kekemasan Pengurusan dan Penampilan Diri, Program Meet The Employer dan Hiring & Physical Interview.

“Pihak UTHM juga akan terus komited dalam mempersiapkan graduan dengan ilmu, kepakaran, profesionalisme serta kemahiran insaniah yang tinggi bagi membantu pelajar kami dalam menghadapi alam pekerjaan kelak,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor