JUADAH ‘TALAM AR-RIZQ’ UKIR SENYUMAN ASNAF


Talam Ar-Rizq merupakan juadah berbuka puasa yang dihidang dalam talam untuk disampaikan kepada golongan asnaf di Johor.    | Sumber foto: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sentiasa komited dalam mmembela nasib golongan asnaf di negeri ini, dengan menganjurkan pelbagai program bermanfaat.

 

Program terbaharu dianjurkan pada tahun ini, adalah ‘Talam Ar-Rizq’ berkonsepkan penghantaran juadah berbuka puasa dihidang di dalam talam dan dihantar ke kediaman golongan asnaf terpilih dan berkelayakan.

 

Penolong Pengarah Pengurusan Pungutan Zakat MAINJ, Ustaz Shafie Mustafa berkata, program itu diadakan sejak sebelum bulan Ramadan tahun ini, di mana ‘Talam Ar-Rizq’ diletakkan di masjid-masjid tertentu di setiap daerah.

 

“Susulan itu, Talam Ar-Rizq diteruskan untuk minggu pertama dan kedua Bulan Ramadan serta ditambah baik dari segi cara pelaksanaannya dengan membuat penghantaran ke rumah-rumah asnaf yang terpilih.

 

“Usaha murni MAINJ ini berobjektifkan meringankan beban dan menyantuni golongan asnaf selain mengedarkan juadah berbuka puasa,” katanya.

 

Beliau memberitahu, pihak MAINJ akan terlebih dahulu mengadakan perbincangan bersama pemimpin setempat bagi mendapatkan data keluarga asnaf di kampung-kampung terpilih.

 

Menurutnya, jika isi rumah lebih ramai daripada jangkaan, MAINJ akan menambah pemberian ‘Talam Ar-Rizq’ bagi memastikan objektif program tercapai.

 

Shafie memberitahu setiap talam menyediakan hidangan untuk empat orang sekeluarga dan kebiasannya MAINJ memperuntukkan minima 20 set sehari.

 

“Menu talam akan berubah-ubah, namun MAINJ menetapkan konsep hidangan yang perlu berlaukkan ayam dan daging bersama nasi beriani atau nasi Arab.

 

“Dari segi tukang masak pula, MAINJ akan dapatkan tukang masak Muslim di setiap daerah untuk tempahan makanan bagi menu Talam Ar-Rizq” katanya.

 

Selain itu, ujarnya, sebanyak dua kampung di setiap daerah akan dipilih untuk dihantar ‘Talam Ar-Rizq’ yang menjadikan keseluruhannya 22 kampung.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor