KAJI SEMULA GAJI DOKTOR, PETUGAS KESIHATAN – EXCO KERAJAAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon mengadakan lawatan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dekat Batu Pahat semalam | Sumber Facebook Ah Soon.

 

ISKANDAR PUTERI — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diseru mengkaji semula struktur gaji dan kebajikan doktor serta petugas kesihatan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, KKM juga perlu membantu pegawai perubatan berstatus jawatan kontrak demi jaminan masa depan kumpulan itu.

 

“Petugas kesihatan dan doktor yang bekerja syif malam amat susah dan berat beban mereka. Mereka perlu mengatasi jam biologi serta menghadapi beban kerja yang lebih berat sebab klinik tidak beroperasi pada waktu malam.

 

“Ramai yang tidak mengetahui, petugas kesihatan terutamanya doktor kontrak tidak bergaji tinggi, akan tetapi mereka masih berpegang kepada tanggungjawab dan terus menyelamatkan nyawa.

 

“Gaji mereka tidak sepadan dengan usaha dan masa kerja mereka yang panjang. Saya menyeru agar KKM mengkaji semula gaji dan kebajikan doktor serta petugas kesihatan, membantu doktor kontrak agar pendapat dan masa hadapan mereka lebih terjamin,” katanya dalam Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Tian Soon mengadakan lawatan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dekat Batu Pahat semalam.

 

Turun padang itu sekali gus memberi peluang kepada beliau memahami pengoperasian Jabatan Kecemasan dan gerak kerja petugas kesihatan serta doktor di hospital tersebut.

 

“Malam ni agak sibuk bagi jabatan kecemasan, selama satu jam berada di sini terdapat lebih kurang 25 kes.

 

“Saya meninjau ke kawasan ‘assessment’, ‘Green Zone’, ‘Yellow Zone’, ‘Red Zone’ dan farmasi. Keadaan teratur dan petugas kesihatan menjalankan tugas dengan teliti,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor