KARNIVAL TVET & KERJAYA KULAI 2025 PERTAMA DI MALAYSIA

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir merasmikan Program Karnival TVET dan Kerjaya Kulai 2025. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Kulai – Karnival TVET dan Kerjaya Kulai 2025 yang julung kali diadakan menjadi karnival pertama seumpamanya di Malaysia yang dianjurkan di bawah inisiatif Sekretariat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, di Dewan Raya Putra, Bandar Putra Kulai, hari ini.

 

Program yang berlangsung dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Jabatan TVET Kementerian Pendidikan Malaysia, 25 agensi dan 11 syarikat industri ini berjaya menarik penyertaan lebih 1,000 pelajar dari 21 buah sekolah di sekitar daerah Kulai serta turut menarik perhatian mahasiswa dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

 

Antara pengisian utama karnival ini termasuk pameran pendidikan, temu duga kerjaya secara terbuka dan taklimat pengenalan kepada bidang TVET yang turut memberi pendedahan awal kepada bakal pelajar lepasan SPM tentang peluang kerjaya dalam sektor kemahiran.

 

Melihatkan kepada sambutan yang menggalakkan, karnival seperti ini bakal menjadi permulaan kepada penganjuran program kerjaya lebih besar di daerah Kulai yang dijangka akan turut diadakan pada Ogos atau September tahun ini, dengan skala yang lebih luas dan dinamik.

 

Selain itu, satu perbincangan bagi rancangan untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang memfokuskan kepada pembangunan peluang kerjaya untuk anak-anak Kulai turut dibincangkan, selari dengan potensi besar sektor ekonomi yang dimiliki daerah ini terutama dalam bidang berkaitan TVET.

 

Dengan kewujudan lebih 60 syarikat aktif serta pelaksanaan pelbagai inisiatif dan projek berimpak tinggi, daerah Kulai dilihat mampu menjadi hab kerjaya yang dinamik dan mampan bagi generasi muda di daerah itu pada masa akan datang.

 

Terdahulu YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir merasmikan Program Karnival TVET dan Kerjaya Kulai 2025.

 

Turut hadir YBhg. Tuan Haji Ts. Azmee Awang, Setiausaha MPKu; YBhg. Tuan Haji Ts. Halim Abdullah, Sekretariat Majlis TVET Negara dan Encik Mohd Kamal Ulum Mosrin, Pengerusi Majlis TVET Negara Parlimen Kulai.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor