KEMAS PERKASA SEMULA PROGRAMNYA SUPAYA KEKAL RELEVAN


Ketua Pengarah KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi (tengah) hadir Majlis Apresiasi dan Akujanji Kakitangan KEMAS Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar / Gambar MDJ Muhammad Izuan Mohd Nizam.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan melakukan langkah transformasi terhadap semua program kemahirannya supaya ia sentiasa relevan dengan keadaan semasa.

Ketua Pengarah KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, berkata bagi tujuan itu pihaknya akan memberi perhatian terhadap lima perkara yang berada di bawah program kemahiran.

Katanya, antara perkara yang akan diberi penekanan ialah bidang masakan, jahitan, seni tangan, komputer dan dandanan supaya ia terus kekal relevan dan dapat membantu golongan sasar untuk menjana pendapatan menerusi bidang kemahiran.

“Kita mahu program yang dikendalikan KEMAS ini sentiasa relevan dan membantu ke arah untuk memberikan perkhidmatan dan kemahiran kepada masyarakat luar bandar untuk menimba ilmu dalam lima bidang terbabit.

“Kita mempunyai pendekatan iaitu membuka kelas di kawasan luar bandar yang disasarkan kepada golongan belia dan suri rumah. Selain itu, kita juga mempunyai dua akademi KEMAS iaitu di Seri Iskandar dan Gopeng di Perak.

“Di situ (Akademi KEMAS) kita bawakan (kepada peserta kursus) Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dan Tahap 4. Kita juga akan melangkah ke arah Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (SKM Tahap 5) yang setara dengan (peringkat) ijazah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi dan Akujanji Kakitangan KEMAS Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini. Hadir sama ialah Pengarah KEMAS Negeri Johor, Zamri Muhamad.

Ahmad Kamal Idris berkata, menerusi nilai tambah itu ia bukan sahaja akan membantu KEMAS dalam mengekalkan programnya terus relevan tetapi juga akan membolehkan peserta melangkah lebih jauh dengan berbekalkan kemahiran yang dimiliki kelak.

Sementara itu pada program sama, beliau berkata, pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri 1 yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memberi peruntukan RM 140 juta bagi tujuan makanan tambahan ke Tabika KEMAS.

“Kita ada kira-kira 208,000 kanak-kanak yang belajar di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) KEMAS dengan di Johor sahaja kita mempunyai 25,000 kanak-kanak.

“Justeru menerusi peruntukan ini akan dapat menyediakan makanan tambahan kepada pelajar di kedua-dua institusi didikan kanak-kanak milik KEMAS berkenaan,” katanya.

Berhubung kenaikan elaun Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) KEMAS daripada RM500 hingga RM800 sebulan, pihaknya bersyukur kerana pihak kerajaan juga mengambil berat kebajikan petugas KEMAS berkenaan.

“Saya berharap prestasi PPMS akan meningkat terutama dari segi komitmen dan prestasi kerja mereka kelak, selaras dengan pengiktirafan kerajaan berkenaan,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor