MAJLIS BANDARAYA JOHOR BAHRU LANCAR MBJB SPOT V2


Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melancarkan MBJB Spot Version 2 (V2), hari ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melalui Jabatan Penguatkuasaan menambahbaik sistem letak kereta bandar raya dengan melancarkan MBJB Spot Version 2 (V2), hari ini.

 

Datuk Bandar MBJB, Dato’ Mohd Noorazam Osman berkata, aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama Tetuan Presgo Gateways Sdn. Bhd. pada tahun ini, menambahbaik sistem sedia ada iaitu MBJB Spot.

 

“Selaras dengan pelaksanaan ‘bandar pintar’ di bandar raya ini, MBJB komited mengorak langkah terkehadapan bagi melaksanakan transformasi digital di dalam menyampaikan perkhidmatan kepada warga bandar raya dan menormakan penggunaan teknologi digital serta ‘masyarakat tanpa tunai’,” kata beliau ketika Mesyuarat Penuh Bil 02/2023 Peringkat MBJB, hari ini.

 

Beliau berkata, antara penambahan fungsi terdapat di dalam MBJB Spot V2 adalah semakan dan bayaran kompaun bagi kesalahan letak kereta dan lalu lintas; permohonan dan pembayaran sewa petak sementara dan petak rizab secara dalam talian bagi penjaja dan premis perniagaan.

 

Selain itu, bayaran kupon letak kereta secara atas talian mengikut kadar harian, mingguan dan bulanan; paparan i-traffic bagi mendapatkan maklumat terkini keadaan lalu lintar di sekitar MBJB serta penyediaan ruangan iklan yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat luar bagi mempromosikan perniagaan.

 

Mohd Noorazam berkata, pengemaskinian maklumat berkaitan info MBJB dan bandar raya Johor Bahru juga akan disertakan dalam aplikasi itu.

 

“Ini bagi memudahkan warga bandar raya mahupun pelancong untuk mengetahui maklumat berkaitan tempat letak kereta swasta, lokasi dewan serbaguna, gerai-gerai di bawah MBJB serta info-info lain yang akan dikongsi melalui aplikasi ini.

 

“Usaha ini pastinya memberikan manfaat kepada warga bandar raya dalam memastikan perkhidmatan MBJB dapat diperolehi di hujung jari tanpa perlu berurusan di kaunter pejabat,” kata beliau.

 

Selain itu, ujar beliau, MBJB menjadi PBT pertama di negara ini yang menggunakan aplikasi pengurusan tempat letak kereta secara digital sepenuhnya.

 

“Aplikasi MBJB Spot V2 yang kini mempunyai seramai 400,000 pengguna berdaftar juga membenarkan pemilik akaun membuat bayaran bagi pihak ketiga yang tidak mempunyai akaun dengan cara mendaftarkan nombor kenderaan mereka di dalam akaun pemilik dan terus membuat pembayaran secara dalam talian.

 

“Justeru itu, masyarakat khususnya warga bandar raya Johor Bahru disaran untuk memuat turun aplikasi ini dalam telefon pintar masing-masing kerana bermula 1 Jun 2023, segala urusan tempat letak kereta di bawah pentadbiran MBJB telah didigitalkan sepenuhnya dan tiada lagi penggunaan kupon parkir,” beliau.

 

Mohd Noorazam juga memberitahu MBJB dalam usaha membuat penyeragaman uniform bagi anggota penguatkuasa lantikan yang ditempatkan di Bahagian Penguatkuasaan Tempat Letak Kereta.

 

“Dengan penyeragaman ini membolehkan anggota yang bertugas di lapangan mengambil tindakan bukan sahaja di bawah peruntukan Perintah Lalulintas Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBJB (Pindaan) 2017, malah anggota juga boleh mengambil tindakan ke atas kesalahan di bawah peruntukan PBT.

 

“Anggota yang menguatkuasakan penguatkuasaan tempat letak kereta juga merupakan anggota penguatkuasa MBJB yang mana warga bandar raya perlu hormati sebagai penjawat awam yang melaksanakan tugas di lapangan,” kata beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor