MANGSA BANJIR 4 DAERAH DIPINDAHKAN KE PPS


Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) segera memindahkan mangsa banjir ke PPS | Sumber gambar Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 1,591 orang daripada 560 keluarga yang terjejas susulan kejadian banjir di empat daerah dipindahkan ke 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.

 

Kesemua mangsa banjir dipindahkan ke PPS yang dibuka berikutan kawasan kediaman masing-masing dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.

 

Tindakan pantas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah menyegerakan mangsa banjir untuk mendapatkan perlindungan di PPS yang beroperasi.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, empat daerah yang terjejas adalah Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor memberitahu jumlah mangsa banjir ditempatkan di PPS bertambah sejak semalam, susulan kerjasama yang diberikan kepada sekretariat JPBD.

 

“Johor Bahru merekodkan sebanyak enam PPS dibuka bagi menempatkan 560 penduduk daripada 131 keluarga diikuti Segamat juga dengan enam PPS untuk memberikan perlindungan kepada 746 penduduk daripada 209 keluarga.

 

“Manakala di Kluang, enam PPS turut dibuka menempatkan 188 penduduk daripada 162 keluarga dan Kota Tinggi dengan tiga PPS bagi 123 penduduk daripada 32 keluarga. Bagaimanapun data keluarga dan mangsa masih serta sedang dikemaskini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

 

Jabatan Meteorologi meramalkan amaran hujan berterusan tahap Bahaya di Johor sehingga esok, namun tiada amaran ribut petir di keluarkan untuk negeri ini.

 

Jabatan Pengairan dan Saliran pula merekodkan 10 lembangan di lima daerah menunjukkan paras air di tahap Bahaya iaitu Sungai Segamat Kecil; Sungai Batu Pahat; Sungai Lenik, Ladang Chaah di Segamat diikuti Kampung Contoh di Kluang.

 

Selain itu, Sungai Siku, Kampung Murni Jaya; Sungai Skudai, Kampung Separa; Kampung Melayu Bukit Batu di Kluang diikuti Kampung Ulu Pulai di Pontian serta Kampung Laut dan Kammpung Pasir di Johor Bahru.

 

Manakala Jabatan Kerja Raya memberitahu dua laluan ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway) FT050 Seksyen 3.5 di Kluang dan Jalan Bekok J150 Seksyen 3.30 di Segamat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor