KEPRIHATINAN KERAJAAN NEGERI AMAT DIHARGAI
Komitmen Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan pembinaan bangunan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh, dekat Pasir Gudang demi keselesaan warga pendidik dan murid sekolah berkenaan, disambut baik.
Bekas Guru Besar SK Perigi Acheh, Sitara Komaise, 49, menyifatkan pengumuman tersebut amat dinanti-nantikan oleh warga sekolah itu yang menginginkan persekitaran lebih selesa dan kondusif bagi menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Biarpun saya tidak lagi berkhidmat di sini, saya amat terharu dengan berita baik ini. Saya sangat memahami apa yang diinginkan oleh 95 murid dan 12 guru di sekolah ini. Komitmen diberikan Kerajaan Negeri dalam memberi sumbangan untuk pengangkutan juga sangat dialu-alukan kerana perjalanan yang mereka tempuhi agak mencabar, tidak seperti murid lain di luar sana,” katanya kepada Media Digital Johor.
Sitara yang berkhidmat dari tahun 2021 hingga 2023 memberitahu prestasi akademik murid SK Perigi Acheh juga tidak terjejas biarpun terpaksa menumpang sementara di SK Tanjung Langsat sejak sekolah berkenaan ditutup demi keselamatan warganya.
Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan lawatan ke SK Perigi Acheh dan turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM6 juta daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pembinaan bangunan sementara.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor