KERAJAAN FOKUS PENGEMBANGAN MODEL EKONOMI GIG


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan diminta memberi fokus pengembangan model ekonomi gig bagi membolehkan pekerja dalam sektor tersebut mendapat bimbingan sewajarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, ia bagi menggalakkan perniagaan tempatan mengguna pakai tenaga ‘digital freelancer’ dari dalam negara.

Menurutnya, setiap inisiatif perlu dilaksanakan oleh kerajaan dengan lebih saksama untuk memberi rangsangan terhadap keberdayaan sumber merentas sempadan kaum.

“Ini termasuk memastikan semua platform yang ingin menawarkan perkhidmatan atau beroperasi di Malaysia perlu berdaftar dengan pihak kerajaan menerusi MDEC untuk ditentusahkan terutamanya dari aspek pengurusan data peribadi.

“Kerajaan menerusi institusi kewangan juga boleh membantu perkembangan pekerja gig menerusi kaedah baharu untuk mengenalpasti skor kredit bagi membolehkan mereka mendapat pembiayaan mikro kredit untuk mengembangkan perniagaan,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri mengenai usaha kerajaan negeri menggalakkan dan menyokong penglibatan anak muda dalam bidang ekonomi gig.

Mohd Hairi berkata, MDEC merupakan agensi bertanggungjawab melaksanakan beberapa program mempromosi dan menggalakkan penggunaan model ekonomi gig atau ekonomi perkongsian sejak 2015 seperti program eRezeki dan Global Online Workforce (GLOW).

“Berdasarkan data pelaksanaan program, dianggarkan terdapat seramai 1.12 juta individu yang terlibat dalam model ekonomi gig, mengambil peluang menjana pendapatan sama ada sebagai pendapatan tambahan atau pendapatan utama.

“Untuk makluman Yang Berhormat Parit Yaani juga, melalui Belanjawan 2022 sebelum ini, Kerajaan Johor menyalurkan bantuan sebanyak RM150 dan bantuan tambahan sebanyak RM300 kepada pencetus ekonomi gig,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor