TMIYC ISKANDAR PUTERI BAKAL JADI PLATFORM BANGUNKAN BAKAT ORANG MUDA JOHOR


DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkenan beramah mesra bersama Orang Muda Johor pada Majlis Pecah Tanah Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri / Gambar Ihsan HRH Crown Prince Of Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim hari ini menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri.

Ia bakal menjadi satu platform untuk pembangunan bakat Orang Muda Johor terutama dalam bidang keusahawanan, seni, budaya, kesukarelawanan, sukan dan rekreasi apabila ia siap kelak.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata TMIYC adalah sebahagian daripada Agenda Orang Muda Johor yang turut menjadi salah satu daripada enam teras utama Misi Maju Johor 2030.

“Ia akan membabitkan hampir dua juta Orang Muda Johor dan pembangunan anak muda akan ditumpukan di dalam lima modul iaitu pendidikan, kepimpinan, keusahawanan, sukan, rekreasi dan kesukarelawanan, selain mewujudkan sebuah sekolah kepimpinan.

“Ini adalah bagi memastikan generasi muda Johor menjadi modal insan yang berkebolehan, berwibawa, berdaya tahan dan berdaya saing seterusnya mampu menghadapi apa jua cabaran mendatang, sekali gus memberi nilai tambah kepada kemajuan serta kejayaan negeri Johor,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Dato’ Dr Badrul Hisham Kassim.

Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri turut membuat perancangan untuk membangunkan sekurang-kurangnya sebuah TMIYC di setiap daerah supaya tiada Orang Muda Johor yang ketinggalan mendapat peluang yang disediakan oleh kerajaan sama ada di peringkat negeri, persekutuan atau tempatan.

“TMIYC adalah inisiatif strategik yang lahir dari cetusan idea DYMM Tunku Mahkota Johor untuk mewujudkan pusat pembangunan belia yang akan menyediakan ruang yang kondusif untuk Orang Muda Johor melakukan pelbagai aktiviti,” katanya.

TMIYC yang ketiga di Johor ini dibina di atas tapak berkeluasan 27 ekar di Iskandar Puteri serta terbahagi kepada dua zon iaitu Hab Sosial dan Zon Aktif.

Pembinaan TMIYC Iskandar Puteri ini dijangka bermula pada suku kedua 2023 dan dijangka mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan sepenuhnya kelak.

Zon Hab Sosial akan mengandungi ruang tertutup berkapasiti sehingga 1,500 orang serta sebuah auditorium yang boleh menampung 200 peserta, selain sebuah ruang terbuka bagi tujuan pengajuran pelbagai jenis acara dan aktiviti serta dilengkapi sebuah taman seni untuk acara seni budaya.

Zon ini turut dilengkapi ruan niaga, ruang makanan dan minuman, restoran pandu lalu, ibu pejabat HAB, bilik mesyuarat dan studio HAB. Selain itu, sebuah menara ikonik yang bukan sahaja menjadi mercu tanda TMIYC Iskandar Puteri tetapi boleh digunakan sebagai menara tinjau dan aktiviti seperti ‘flying fox’.

Bagi zon aktif pula, terdapat sebuah Gym Rakyat, velodrome dan trek BMX yang sudah pun siap dibina untuk tujuan kesihatan dan keterampilan Orang Muda Johor.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor